Yang di-Pertuan Agong gering di bahagian kaki, jalani pemeriksaan pakar

Kuala Lumpur: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kini berada dalam keadaan gering di bahagian kaki dan sedang menjalani pemeriksaan serta pemantauan pakar perubatan di sebuah hospital di sini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, bagaimanapun, kesihatan Baginda secara amnya adalah dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan.

“Sehubungan itu, program yang dijadualkan berlangsung pada hari ini dan semua program terdekat membabitkan keberangkatan Seri Paduka Baginda ditangguhkan ke tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat selepas selesai menjalani rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, seluruh rakyat diseru untuk bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan.

BHOnline

Leave a Reply