Filem Tamil tempatan Arulmozhi bakal tayang di Netflix

KUALA LUMPUR: Filem Tamil tempatan yang mula mendapat momentum di Malaysia bercadang menawarkan hasil karya mereka di platform over-the-top (OTT), iaitu Netflix dan Amazon Prime, dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa dan mendapat pengiktirafan global.

Penerbit filem tempatan, Magendran Raman dari syarikat Vikadakavi Production Sdn Bhd, berkata inisiatif ini perlu berikutan kandungan filem Tamil tempatan semakin bertambah baik sejak kebelakangan ini, apabila ramai penonton global menikmati kepelbagaian kandungan ditawarkan.

“Jika diberi peluang, saya lebih suka mengetengahkan kandungan filem Tamil tempatan di Netflix kerana ia adalah platform yang baik. Pawagam hanya untuk kebanggaan.

“Kita perlu tahu siapa yang mengendalikan Netflix di Malaysia untuk kita teroka peluang ini,” katanya kepada BERNAMA ketika diwawancara untuk mempromosikan filem Tamil tempatan berjudul Arulmozhi di Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Magendran mengulas cadangan awal pemain industri agar platform penstriman memberi lebih banyak kelonggaran kepada penerbit filem Tamil tempatan untuk melakukan eksperimen dengan gaya naratif dan penceritaan unik bagi pasaran Tamil.

Pelakon itu bersetuju bahawa diaspora Tamil yang besar menawarkan peluang kepada penerbit filem Tamil tempatan untuk melangkaui dua atau tiga negara melalui platform penstriman.

“Tamil adalah bahasa yang membolehkan anda pergi ke persada antarabangsa dengan mudah menyasarkan negara seperti India, Sri Lanka dan Singapura selain Malaysia,” katanya.

Sementara itu, mengenai Arulmozhi yang mula ditayangkan, Magendran yang turut membintangi filem itu berkata, ia adalah filem yang penuh emosi dan suspens.

Filem itu berkisar seorang penyiasat persendirian yang tersilap menjadi pengawal ketika cuba mempertahankan rakan dan keluarganya daripada geng militan berbahaya yang merancang untuk melepaskan bom kimia.

Pengeluar filem itu menjangkakan kutipan sekurang-kurangnya RM500,000.

BERNAMA

Leave a Reply