Pemandu Toyota Alphard buli pengguna jalan raya didakwa

Selayang: Pemandu Toyota Alphard yang tular di media sosial selepas membuli pengguna jalan raya di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak didakwa atas tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Bagaimanapun tertuduh, Lim Koh Cing, 44, hanya mengaku bersalah bagi satu pertuduhan, manakala dua lagi pertuduhan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Mengikut pertuduhan pertama, Koh Ching, yang juga peniaga restoran didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kerana memandu secara melulu dan merbahaya kepada orang awam pada 3.47 petang, 30 April lalu di Kilometer (KM) 27.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah Bentong.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000 serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dari lima tahun dari tarikh sabitan.

Bagi pertuduhan kedua, Koh Ching didakwa melakukan mudarat awam dengan cara meludah melalui tingkap pemandu di hari, tempat dan lokasi sama mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM400.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa mengikut Kaedah 53(1) Lalulintas 1959 (LN166/59) kerana memandu di laluan kecemasan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan.

Dalam prosiding itu, tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan kedua sahaja dan mahkamah hanya menjatuhkan hukuman denda RM400 atau sebulan penjara sekiranya dia gagal membayar denda terbabit.

Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Abdul Hilmi mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM7,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia perlu menanggung keluarganya.

Nur Hafizah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 September ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan satu video memaparkan sebuah Toyota Alphard dipandu secara berbahaya dengan memotong di lorong kecemasan dan melakukan provokasi kepada pengguna jalan raya lain yang tular di Facebook pada 1 Mei lalu.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker