Seluruh tubuhnya pucat – Ibu

Kota Bharu: “Saya tidak tahu dia (anak) dibawa keluar bapa saudaranya kerana tiada di rumah namun jam 5 petang ketika pulang, keadaan anak saya lemah dan sangkakan dia letih bermain,” kata ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang kritikal kerana terdapat kandungan dadah dalam badan.

Ibu mangsa berusia 36 tahun berkata, anaknya dibawa suspek keluar tanpa pengetahuannya pada 2 petang kelmarin dan memaklumkan cuba mencari kanak-kanak itu kerana bimbang.

Menurutnya, sebaik anak bongsu dari tiga beradik itu pulang tiga jam kemudian, kebimbangannya tidak hilang kerana melihat keadaan mangsa yang letih dan pucat sebelum menidurkan kanak-kanak lelaki itu.

“Tidurnya juga tidak nyenyak dan sering tersentak membuatkan saya tidak sedap hati selain wajahnya kelihatan semakin pucat.

“Saya tersedar jam 1 pagi tadi dan melihat keadaan dia (anak) semakin teruk yang mana keseluruhan tubuhnya pucat dan sangat lemah seolah sudah meninggal dunia.

“Tanpa berlengah, kami terus membawanya ke Hospital Kuala Krai dan alangkah terkejutnya apabila dimaklumkan keadaannya disebabkan dadah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, dia tidak menyangka perkara ini berlaku walaupun suspek sering ke rumahnya namun tidak pernah membawa mangsa ke mana-mana sebelum ini.

Katanya lagi, anaknya kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan keadaannya masih lagi kritikal.

Terdahulu, polis menerima laporan berhubung kejadian seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan kritikal selepas didapati terdapat kandungan dadah jenis methampethamine dalam badan.

Suspek yang juga bapa saudara mangsa berusia 30 tahun ditahan jam 10 malam tadi dan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 26 Jun ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker