Bicara 1MDB tegang, peguam dan saksi bertikam lidah

KUALA LUMPUR: Perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini menjadi tegang apabila peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah masing-masing bertikam lidah.

Ia bermula ketika Muhammad Shafee menyoal balas Ahmad Husni yang juga saksi ke-20 pendakwaan berhubung surat dan dokumen berkaitan Memorandum dan Artikel Pertubuhan (M&A) 1MDB.

Pertengkaran mulut yang berpanjangan itu menyebabkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah terpaksa meredakan ketegangan dan memerintahkan prosiding berhenti rehat seketika.

Muhammad Shafee mempersoalkan bagaimana surat berkenaan boleh berada di meja Ahmad Husni sedangkan Ahmad Husni dalam keterangan berkata, bahawa mana-mana surat dari 1MDB dan anak syarikat SRC International Sdn Bhd melalui Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan ketika itu.



Ahmad Husni bagaimanapun menjawab, surat dirujuk peguam bukannya datang daripada 1MDB dan ia dihantar melalui pegawai (tidak dinyatakan daripada mana) kepadanya, dan menjelaskan kebiasaannya sebarang surat Kementerian Kewangan akan melalui beberapa peringkat sebelum diserahkan kepadanya untuk kelulusan atau tindakan lanjut.

Bekas Bendahari UMNO itu bagaimanapun berkata, surat berkaitan 1MDB atau anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd dihantar terus kepada Menteri Kewangan sebelum dihantar kepada pegawai kepadanya.

Katanya, semua dokumen berkenaan diuruskan oleh menteri kewangan dan mengikut prosedur, beliau hanya perlu menandatanganinya sahaja.

“Surat ini datang kepada saya macam ini, mengikut prosedur saya hanya perlu menandatanganinya sahaja kerana saya hanya menurut perintah.



“Projek ini tidak mematuhi prosedur Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan Kementerian Kewangan. Jika surat datang dari atas kepada saya, saya kena tandatangan sahaja. Anda tidak pernah bekerja dengannya (Najib), jadi anda tidak akan tahu,” katanya.

Muhammad Shafee: Awak jangan nak bergaduh, jawab sahaja soalan saya! kerana itu apabila saya tanya, anda jangan menjawab dengan angkuh.

Ahmad Husni: Saya tidak bergaduh, saya sudah jawab soalan awak! Yang Arif, saya tidak berlagak angkuh

Hakim (Datuk Collin Lawrence Sequerah): Datuk Seri, peguam ada tugas yang perlu dilaksanakan (untuk bertanya soalan).

Ahmad Husni: Ada tugas pun, kena jujur .

Hakim: Timbalan Pendakwa Raya nanti akan memberikan peluang kepada Datuk Seri untuk memberikan penjelasan lanjut.

Ahmad Husni: Ya yang Arif , saya sudah jawab bahawa saya tandatangan dokumen itu kerana hanya menurut perintah.

Ahmad Husni kemudian ketika ditanya lanjut oleh Muhammad Shafee sama ada surat itu datang daripada MKD atau menteri kewangan, menjawab; “secara jujurnya, ia terus daripada atas dan kepada pegawai sebelum sampai kepada saya.”

Ahmad Husni sekali lagi diasak oleh peguam sama ada ia datang daripada menteri kewangan, menjawab, “Saya sudah jelaskan, sebelum sampai kepada menteri kewangan, ia sudah sampai ke mana-mana.

Ditanya lagi sama ada beliau mengetahui ia datang daripada menteri kewangan,Ahmad Husni berkata, “mungkin.”

Muhammad Shafee kemudian menyoal Ahmad Husni, bagaimana beliau menyatakan hanya menurut perintah dan menandatangani dokumen berkenaan, sedangkan tiada arahan bertulis, yang dijawab saksi bahawa beliau hanya mengetahui ia perlu ditandatangani.

“Surat obligasi datang dari menteri kewangan dan kepada MKD sebelum kepada saya. Yang Arif, saya kenal dia (Najib) sudah 40 tahun, saya tahu kuasa yang ada padanya.

“Surat obligasi daripada menteri kewangan biasanya datang kepada saya, tetapi yang ini terus kepada atas. Ia tiada arahan lisan tetapi daripada gerak hati saya tahu (kena tandatangan),” katanya

Muhammad Shafee: Sebelum ini saya menyatakan akan mengambil sehari setengah untuk menyoal balas (saksi) tetapi kali ini mungkin mengambil masa selama tiga hari

Ahmad Husni: Setahun pun tidak ada masalah.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker