Kajian menyeluruh penggunaan minyak masak

Kuala Lumpur: Kerajaan diminta membuat kajian menyeluruh dan kadar penggunaan minyak masak rakyat di negara ini bagi mengelak pengguna terbeban, terutama golongan B40 yang boleh dikategorikan miskin bandar susulan pemansuhan subsidi minyak masak botol 2kg, 3kg, 5kg berkuat kuasa 1 Julai ini.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, pemansuhan subsidi minyak masak botol tulen itu sudah pasti akan memberi kesan ketara kepada pengguna apabila dia dibuat secara mendadak.

Menurutnya, pihaknya mencadangkan kerajaan membuat kajian berkaitan penggunaan minyak masak untuk dua kilogram (kg) rakyat negara ini yang tidak mampu untuk membeli secara banyak kerana faktor ekonomi keluarga.



“Mereka terpaksa membeli minyak masak satu atau dua kg, jadi kerajaan perlu membuat kajian itu untuk melihat kesan sampingan kepada pengguna.

“Hasil kajian itu nanti boleh melihat di tahap mana mereka terkesan apabila tidak dapat menikmati subsidi ini,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Nor Izzat berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada golongan terbabit supaya supaya dapat diberi subsidi bersasar.

“Sebagai contoh B40 perlu diberi subsidi minyak bersasar ini dan tidak termasuk golongan lain serta harus diingat kredibiliti untuk menerima minyak masak bersubsidi juga perlu diperhalusi sedalam-dalamnya supaya kerajaan tidak membazir memberi subsidi.



“Kita sedia maklum di negara ini ada lambakan warga asing dan mereka turut menikmati subsidi diberikan kerajaan sedangkan ia untuk rakyat negara ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu meneliti semula pemansuhan subsidi itu yang sepatutnya dibuat secara berperingkat.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pemansuhan subsidi bermula 1 Julai ini sudah tentu akan menyebabkan berlaku kenaikan harga.

“Jika dilihat sebelum ini apabila subsidi minyak masak tulen botol diberikan masih berlaku kenaikan harga seperti tahun lepas tetap berlaku kenaikan harga.



“Kita tidak menghalang kerajaan untuk menarik balik subsidi itu tetapi apa yang penting bagi pengguna adalah kenaikan harga sekiranya dimansuhkan subsidi harga naik mendadak sehingga membebankan pengguna maka kita rasa tidak adil ia ditarik balik,” katanya.

Mohd Yusrizal berkata, satu perkara lagi isu minyak paket subsidi masih dikekal dan pihaknya menyambut baik namun jika dilihat bekalannya amatlah berkurangan berbanding dahulu.

“Jika kita lihat di pasaran awal bulan minyak masak paket ada bekalan namun masuk ke minggu seterusnya sudah tidak ada di pasaran dan menyukarkan rakyat berpendapatan rendah untuk membelinya.

“Kita harap kouta minyak masak paket ini perlu ditambah untuk kesenangan dan mengurangkan beban golongan B40,” katanya.



Bagi Pengerusi Biro Sosioekonomi dan Usahawan Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Mohd Afiq Salim, pengguna tidak perlu panik kerana minyak masak berpaket masih diberi subsidi sebaliknya subsidi yang ditarik semula itu bagi minyak masak botol tulen.

“Bagaimanapun kerajaan disaran mengkaji semula pemberian subsidi kerana apa yang dilihat sekarang ia tidak selaras.

“Kaji balik soal pemberian subsidi dan golongan mana yang ingin diberi subsidi sebenarnya supaya ia lebih selaras,” katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan memansuhkan subsidi minyak masak botol tulen diambil bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran akan lebih stabil dalam jangka masa yang panjang dan seterusnya menstabilkan harga barangan.



Beliau berkata, bagaimanapun subsidi bagi minyak masak paket satu kilogram masih diteruskan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button