Rexy sudah kenalpasti pengganti Flandy, Paulus

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengakui sudah mengenal pasti dua calon jurulatih dari luar negara bagi mengisi kekosongan ditinggalkan jurulatih beregu lelaki, Flandy Limpele dan jurulatih beregu campuran, Paulus Firman.

Rexy berkata dia kini hanya menunggu lampu hijau daripada BAM sama ada bersetuju atau tidak dengan cadangan yang dikemukakannya.

“Buat masa ini, perkembangan sangat positif tetapi masih ada perkara yang perlu dibincangkan lagi. Setakat ini kita sedang menilai jurulatih dari luar negara tetapi saya ada juga bercakap kepada Datuk Kenny Goh (Setiausaha Agung BAM) mengenai jurulatih tempatan, namun segala keputusan terpulang kepada mereka.

“Saya cadangkan kepada pengurusan untuk dapatkan dua jurulatih tetapi kita tengok dulu bagaimana. Sekiranya berjalan dengan baik, calon itu akan sampai dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Pada Mac lalu, Flandy membuat keputusan untuk meletak jawatan selepas menerima tawaran untuk membimbing skuad badminton Indonesia manakala Paulus pula memutuskan untuk tidak memperbaharui kontraknya dengan BAM biarpun ditawarkan oleh badan induk berkenaan, hujung April lalu.

Rexy berkata, dia sebelum ini enggan terburu-buru dalam mencari calon kedua-dua jurulatih berkenaan kerana mahu memastikan calon yang dipilih benar-benar berkualiti.

“Kita tidak mahu terburu-buru kerana bukan senang untuk dapatkan jurulatih berkualiti. Kita bukannya mahu sekadar ambil jurulatih kerana hasilnya mungkin tidak seperti diharapkan.

“Saya tahu perkara ini sudah lama tertangguh tetapi buat masa ini kita masih boleh kendalikan latihan seperti biasa dan memang dalam usaha untuk cari pengganti,” katanya.

BHOnline

Leave a Reply