Satelit Measat-3d dilancar esok

Kourou, French Guiana: Pengendali satelit utama negara, Measat Global Berhad (MEASAT) akan melancarkan satelit Measat-3d pada 5 pagi waktu Malaysia esok (6 petang, 22 Jun waktu tempatan).

Satelit Measat-3d ini akan meningkatkan keupayaan capaian Internet yang mampu dimiliki di kawasan bandar atau sub-luar bandar atau di kawasan sukar dimasuki dengan tumpuannya adalah di Sabah dan Sarawak.

Syarikat telekomunikasi tempatan juga boleh mengambil kesempatan menggunakan Measat-3d ini untuk menawarkan perkhidmatan data, suara dan video di sekitar 3-5 peratus lagi kawasan populasi yang belum diliputi oleh penyambungan gentian optik atau jalur lebar tanpa wayar.

Dengan kos sekitar RM1.2 bilion, Measat-3d adalah yang paling komprehensif dan kompleks di dalam kumpulannya berbanding Measat-3a dan Measat-3b.

Satelit berbilang misi telekomunikasi itu dibangunkan oleh Airbus Defence and Space di atas platform Eurostar E3000 dengan berat 5,648 kilogram dan jangka operasi lebih 18 tahun menggunakan kuasa elektrik 12kW pada akhir hayatnya.

Ia juga akan melengkapkan fungsi bersama satelit Measat-3a dan Measat-3b yang terletak bersama dalam hotslot orbit 91.5° Timur, menggantikan kapasiti lama dan membina daya tahan untuk armada satelit MEASAT.

Satelit baharu itu juga akan memulihkan pertindihan dalam orbit dan kapasiti pengembangan yang tiada tandingan untuk perkhidmatan Direct-to-Home (“DTH”) Astro bersama-sama perkhidmatan penyiaran dan telekomunikasi di rantau ini.

Dijangka hadir menyaksikan pelancaran ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOM) Datuk Seri Mohammad Mentek, beberapa pegawai daripada Kementerian Pertahanan dan wakil syarikat telekomunikasi tempatan.

Masyarakat di Malaysia boleh menyaksikan pelancaran satelit Measat-3d melalui Facebook Live Harian Metro atau saluran YouTube https://www.youtube.com/watch?v=vEdSTgrKlg4.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker