Satria Dewa : Gatotkaca bakal ditayang di Malaysia

Kuala Lumpur: Selepas tayangan perdana di Indonesia Khamis lalu, filem adiwira yang diinspirasi daripada kisah legenda republik itu, Satria Dewa: Gatotkaca bakal ditayangkan di Malaysia, Julai ini.

Pengarah Urusan Horizon FIlm Entertainment, Mohd Shahir Sulaiman berkata, filem yang diangkat daripada siri kisah Gatotkaca ini adalah karya segar dan berbeza terutama dari segi jalan cerita serta lakon layarnya.

“Filem ini menerima sambutan luar biasa di Indonesia dan saya yakin, peminat filem tempatan terutama mereka yang gemarkan filem adiwira serta aksi pasti tidak sabar menonton Satria Dewa : Gatotkaca.



“Barisan pelakon yang ada antaranya Rizky Nazar dan pelakon Indonesia bertaraf Hollywood, Yayan Ruhian menjadikan naskhah Satria Dewa : Gatotkaca ditunggu-tunggu semua. Kita rumpun yang sama. Berkongsi akar budaya, adat dan warisan. Kerana itu, cita rasa juga tidak jauh beza,” katanya.

Satria Dewa: Gatotkaca terbitan Satria Dewa Studio yang menjadi perbualan sebelum ini berkisarkan Yuda lakonan Rizky mencari pembunuh bersiri yang mengambil nyawa ibunya sendiri, Arimbi (lakonan Sigi Wimala) dengan bantuan rakan-rakannya.

Dalam pencarian terbabit, Yuda mula sedar dirinya mempunyai kuasa luar biasa dan menggunakan kelebihan itu untuk melindungi orang-orang yang tersayang serta mencari dalang pembunuhan bersiri itu.

Tidak hanya di Malaysia, Satria Dewa : Gatotkaca juga bakal ditayangkan di Amerika Utara apabila Well Go USA bertanggungjawab mengedarkan filem berkenaan di sana.



Ketua Pegawai Eksekutifnya, Doris Pfardrescher meluahkan rasa teruja dan gembira dengan kerjasama yang dijalinkan bagi memasarkan filem adiwira itu.

Sementara itu, Naib Presiden (Operasi) Satria Dewa Studio, Mochtar Sarman berkata, pihaknya menyambut baik usaha dua syarikat pengedaran terbabit untuk menayangkan Satria Dewa : Gatotkaca.

“Mendapatkan apresiasi dari negara-negara luar sungguh luar biasa. Semoga melalui filem ini, adiwira Indonesia juga boleh ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button