Isteri Pemangku Raja Johor persoal punca kematian Baby Syifaa
JOHOR BAHRU: Kes kematian bayi perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri, 15 bulan, ketika dalam jagaan di pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Seri Sendayan, Negeri Sembilan, Februari lalu, perlu disiasat semula.
Isteri Pemangku Raja Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam menerusi hantaran di Instagram semalam, menyuarakan pendapat yang melihat kecederaan bayi itu yang dikatakan berpunca akibat terjerut tali buaian seperti tidak masuk akal.
Dalam hantaran pertama, Che’ Puan Besar Khaleeda berkongsi hantaran daripada bapa bayi berkenaan, Yuseri Yusoff yang memuat naik gambar kecederaan anaknya bersama laporan bedah siasat serta peringatan tarikh sebutan semula kes inkues di Mahkamah Koroner Seremban, 29 Jun ini.
Isteri Pemangku Raja Johor meletakkan tanda pagar #justiceforbabysyifaa dan turut menandakan nama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
“Bagi saya tidak masuk akal ‘Baby’ (bayi) Syifaa terjerut buai dengan ada kesan luka di kakinya seperti dia diheret,” tulis baginda dalam hantaran kedua.
Che’ Puan Besar Khaleeda kemudian berkongsi lagi hantaran Yuseri yang dibuat pada 24 Mac lalu dengan mempersoalkan bagaimana seseorang boleh melakukan tindakan sebegitu kepada seorang kanak-kanak yang tidak berdaya.
“How can someone do this to a helpless child (Bagaimana seseorang boleh lakukan perkara ini ke atas kanak-kanak yang tidak berdaya). You need to reinvestigate this case (Kamu perlu siasat semula kes ini),” tulis baginda lagi dengan menandakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Rina.
Malam tadi, sekali lagi Che’ Puan Besar Khaleeda membuat hantaran merujuk kes berkenaan dengan persoalan mengenai kesan kecederaan dialami bayi terbabit.
Media sebelum ini melaporkan, bayi perempuan itu disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 petang, 22 Februari lalu selepas dibawa pengasuhnya ke Klinik Kesihatan Sendayan untuk rawatan.
Menurut siasatan awal polis, pengasuh mendakwa mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan leher dan kepalanya terkeluar daripada buaian dan tergantung pada kain buaian, manakala badan berada di dalam buaian.
Hasil bedah siasat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban pula merumuskan tekanan pada leher menjadi punca kematian bayi berkenaan.
Pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian bayi perempuan itu ditetapkan semula pada 29 Jun ini di Mahkamah Koroner Seremban.
BHOnline