Tangguh dahulu kenaikan tarif elektrik

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menangguhkan sebarang bentuk kenaikan tarif elektrik sehingga krisis kekurangan bekalan yang mengakibatkan harga barangan keperluan naik mendadak kembali pulih.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata penangguhan itu penting bagi melindungi rakyat.

“Tarif elektrik dijangka akan naik mulai 1 Julai ini. Tenaga Nasional Berhad (TNB), seperti syarikat tenaga lain di seluruh dunia sedang dihimpit oleh kenaikan kos pengeluaran akibat lonjakan harga arang batu melebihi 117 peratus sejak hujung tahun lalu.

“Namun, kenaikan tarif elektrik ketika pengguna sudah teruk diasak kenaikan harga barang keperluan lain pastinya sangat tidak wajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Salahuddin berkata, sebarang peningkatan dalam kos tenaga elektrik pasti akan menyumbang kepada kenaikan kos operasi dan pengeluaran yang akhirnya akan ditanggung pengguna.

Justeru, katanya, TNB sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) gergasi dengan keuntungan terkumpul lebih RM52 billion pasti mampu menyerap impak kenaikan kos bahan api dan operasi mereka.

“Buktinya, walaupun kos bahan api meningkat sebanyak 26 peratus sepanjang 2021, keuntungan operasi TNB meningkat sebanyak 10 peratus (RM742 juta) untuk tahun terbabit.

“Pengumuman tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM100 dan RM50 juga akan terbukti sia-sia dan gagal membantu rakyat jika kadar inflasi terus meningkat akibat kenaikan tarif elektrik sama ada untuk pengguna komersial apatah lagi untuk pengguna domestik,” katanya.



Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan tambahan bayaran RM50 dan RM100 kepada penerima BKM selepas mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan ketika ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil keputusan menyalurkan bantuan tunai tambahan itu kepada golongan B40, masing-masing RM100 bagi isi rumah dan RM50 untuk individu bujang.

Beliau berkata, setiap penerima bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing dengan bantuan tunai tambahan dibayar bersekali dalam bayaran Fasa 2, membabitkan peruntukan tambahan bernilai RM630 juta.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker