Bintang veteran Indonesia Rima Melati meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bintang veteran Indonesia, Rima Melati, 84, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung di Hospital Gatot Soebroto, Jakarta, Indonesia, jam 3.25 petang, semalam.

Berita pemergian Rima dikongsikan menantunya, Marisa Tumbuan menerusi Instagram (IG) Story.

“Telah meninggal dunia dengan tenang ke pangkuan Tuhan Yang Maha Esa, ibu Rima Melati.

“Ibu mentua yang dikasihi daripada Aditya Bimasakti dan Marisa Tumbuan, pada hari Khamis, 23 Jun 2022 pada jam 15.14 WIB di RSPAD Jakarta Pusat.

“Mohon doa dan harap dimaafkan semua kesalahan beliau. Tuhan memberkati kita semua. Amin!” kongsinya.

Mengikut laporan Detik Hot, Rima menjalani rawatan penyakit Ulkus Dekubitus disebabkan luka pada kulit akibat tekanan berpanjangan selepas lama berbaring.

Akibatnya, Rima dibawa ke hospital kerana jangkitan kuman yang menyebabkannya demam teruk.

Mendedahkan punca kematian, anaknya, Aditya Tumbuan, ibunya dimasukkan ke hospital disebabkan jangkitan pada bahagian belakang dan punggung.

“Jangkitan kuman menyebabkan ibu demam tinggi. Apabila dikejarkan ke hospital, ibu dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selama dua minggu.

“Ternyata, ada jangkitan lain seperti paru-paru dimasuki air dan perlu disedut. Dari situ, merebak pula ke buah pinggang.

“Akibatnya, ibu terpaksa melakukan dialisis sebanyak 7 kali dan keadaannya mula stabil.

“Namun, ketika mahu berpindah bilik, ibu seperti mahu terjatuh. Doktor berkejar memberi rawatan, namun, ibu mengalami serangan jantung.

“Ketika pertolongan kecemasan diberikan, ibu akhirnya pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumah mayat di kawasan Senen, Jakarta Pusat, semalam.

Rima berasal dari Tondano, Sulawesi Utara menempa nama sebagai model, pelakon, penyanyi dan pengarah.

Beliau mengikut jejak langkah ibunya, Non Kawilarang yang juga perintis dunia peragaan di Indonesia.

Antara pencapaian tertinggi Rima sepanjang bergelar anak seni ialah meraih Anugerah Piala Citra pada 1973 menerusi lakonan dalam filem Intan Berduri bersama Benyamin Sueb.

Beliau juga pernah muncul dalam 100 filem. Antaranya Kupu-Kupu Putih, Cinta Silver, dan Ayah, Mengapa Aku Berbeda?.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker