Karnival Jom Heboh himpun Keluarga Malaysia

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Karnival Jom Heboh di Anjung Floria, Presint 4, di sini, sebagai medium perhimpunan rakyat pelbagai kaum di negara ini, seiring konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkannya.

Perdana Menteri berkata, pengisian karnival anjuran Media Prima Berhad (MPB) itu juga cukup menarik, sesuai untuk golongan dewasa dan kanak-kanak.

“Saya pun teruja apabila sampai. Saya lihat begitu ramai sekali orang bukan saja dari sekitar Kuala Lumpur tetapi juga dari Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

“Seperti pencinta kucing macam saya, lama juga saya habiskan masa di pameran kucing tadi, maknanya semua ada di Karnival Jom Heboh.

“Hari ini yang datang juga pelbagai kaum. Ini adalah perhimpunan besar bagi saya yang dihimpunkan di bawah Karnival Jom Heboh, selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang saya bawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di reruai The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), ketika berkunjung ke Karnival Jom Heboh.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud.

Perdana Menteri turut mengajak orang ramai untuk hadir ke karnival berkenaan, yang diadakan selama dua hari, bermula dari jam 8 pagi hingga 11.30 malam, sempena Hari Rekreasi Putrajaya (HRP) 2022.

Pada karnival itu, Perdana Menteri turut melawat beberapa reruai lain termasuk Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan, TV3 dan DidikTV.

Beliau turut mencuba permainan membaling tin di reruai NSTP.

Sementara itu, PPj memaklumkan, HRP 2022 yang julung kali diadakan bertujuan mempromosi Putrajaya sebagai Bandar Rekreasi dan lokasi tarikan pelancongan serta menjana ekonomi setempat.

Antara acara menarik yang dianjurkan ialah Bandar RV, desa kopi, pertandingan memancing, aktiviti ‘flying fox’, senamrobik, mini penalti dan bola boling.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker