RM2.8 juta Selepas dua hari tayangan Mat Kilau

Kuala Lumpur: Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan terus mencetus fenomena dan mencatat rekod luar biasa apabila berjaya mencatat kutipan sebanyak RM1.8 juta pada hari kedua tayangannya, semalam.

Pada hari pertama tayangannya kelmarin, filem arahan Syamsul Yusof, 38, itu mencipta rekod sebagai filem epik tempatan pertama mencatat kutipan sebanyak RM1 juta.

Sehingga hari ini, filem terbitan Studio Kembara itu sudah mencatat kutipan hampir RM3 juta.

Syamsul berkata, dia bersyukur dan bangga apabila filem tempatan mendahului kutipan filem luar negara.

“Alhamdulillah untuk segalanya. Filem Melayu kita berjaya mengenepikan filem luar dan Hollywood antarabangsa. Dan itu, kamu harus berbangga. Tahniah kepada semua pasukan produksi saya,” katanya.

Menurut Syamsul, itu adalah rezeki daripada Allah selain kerja keras yang sudah ditunjukkan semua pelakon dan pasukan penerbitan sepanjang proses penggambaran.

“Kita juga hebat dan mampu bersaing dengan filem Hollywood lain. Kita mampu bersaing dengan dengan orang lain dalam apa juga bidang. Mat Kilau bukan saja pecah rekod pembukaan hari pertama malah mengetepikan filem Hollywood lain yang sedang ditayangkan di Malaysia,” katanya.

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang sebelum ini ‘diperam’ seketika tayangannya selama dua tahun akibat penularan Covid-19 dibintangi barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Ellie Suriaty Omar, Farah Ahmad dan pelakon aksi terkenal Indonesia bertaraf Hollywood, Yayan Ruhian.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker