KPDNHEP terima 13 aduan menerusi Ops Anti-Sorok

Georgetown: Sebanyak 13 aduan sorok barang kawalan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menerusi Ops Anti-Sorok bermula Januari hingga 22 Jun.

Bagaimanapun, pemantauan mendapati tiada kes dilaporkan berkaitan kesalahan menyorok barang kawalan.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi), Shamsul Nizam Khalil berkata, KPDNHEP turut mengadakan pemantauan harga dan bekalan ayam, telur serta minyak masak botol di ladang, pemborong dan peruncit di sekitar Pulau Pinang, semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati bekalan barang kawalan mencukupi dan mudah diperoleh serta tiada sebarang kegiatan sorok dikesan.

“Anggota penguat kuasa KPDNHEP turut menjalankan pemeriksaan harian di setiap peringkat rantaian bekalan di bawah Op Anti-Sorok dan Op Ayam, Telur dan Minyak Masak (Op ATM).

“Ia adalah bagi memastikan bekalan dalam keadaan stabil selain membanteras isu berkaitan kegiatan sorok barang kawalan dan keperluan harian di pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini.

Shamsul Nizam berkata, operasi berkenaan membabitkan 15 Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya dan Pulau Pinang serta Ketua Seksyen Kawalan Harga dan Antipencatutan Putrajaya dan Ketua Unit Operasi Pulau Pinang.

“Pengguna disaran supaya menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberi kerjasama sekiranya mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan/subsidi.

“KPDNHEP ingin memberi amaran keras kepada mana-mana individu dan syarikat supaya tidak terbabit atau bersubahat dengan melakukan aktiviti menyorok barang kawalan bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang tegas oleh pihak berkuasa,” katanya.

Kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan boleh didenda tidak melebihi RM1juta sekiranya didapati bersalah.

Bagi kesalahan berikutnya ialah denda tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali; manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2juta dan RM5juta bagi kesalahan seterusnya.

Menurutnya, KPDNHEP menggerakkan hampir 2,200 anggota penguat kuasa di seluruh negara bagi melaksanakan pemeriksaan Op Anti Sorok dan Op ATM membabitkan barang kawalan ayam, telur ayam dan minyak masak bagi memastikan keberadaan bekalan terutama barang makanan sentiasa mencukupi serta mudah diperoleh pengguna dengan harga berpatutan.

Orang awam yang mempunyai aduan atau maklumat boleh menghubungi aplikasi WhatsApp 019-279 4317 atau 019-848 8000; Portal Aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my; talian 1-800-886-800 ; e-mel [email protected] dan Ez ADU KPDNHEP.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker