PDRM jalankan 194 serbuan ke atas pusat hiburan

Kuala Lumpur: Sebanyak 194 serbuan ke atas pusat hiburan dijalankan polis di seluruh negara dengan 55 serbuan dilakukan di ibu negara bagi tempoh Januari hingga Jun ini.

Setiausaha Polis Malaysia Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai pendedahan oleh Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) berhubung senarai 15 pusat hiburan didakwa menjadi pusat pengedaran dadah di ibu negara.

“PDRM sentiasa mengambil tindakan terhadap aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negara.

“Sebanyak 55 serbuan pusat hiburan dijalankan di Kuala Lumpur bagi tempoh Januari lalu hingga Jun ini manakala 194 serbuan sama dijalankan di seluruh negara bagi tempoh sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorsiah berkata, dalam serbuan pusat hiburan di ibu negara, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya merampas sebanyak 5,135.57 gram pelbagai jenis dadah dan 450 liter pelbagai jenis cecair dadah.

“Sebanyak 160 individu berjaya ditahan di bawah pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bagi serbuan pusat hiburan di seluruh negara pula, sebanyak 9,208.81 gram pelbagai jenis dadah dan 450 liter pelbagai jenis cecair dadah dirampas.

“Sebanyak 449 kes dengan 504 individu berjaya ditahan di bawah pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub mengikut akta sama,” katanya.

Beliau berkata, JSJN menjalankan Op Noda di lokasi yang disasarkan seperti rumah urut, hotel serta pusat hiburan bagi mencegah aktiviti maksiat.

“Dalam operasi itu, sebanyak 995 serbuan dijalankan bagi tempoh Januari hingga April lalu dengan tangkapan 2,948 individu yang terbabit dengan aktiviti pelacuran dan pusat hiburan di seluruh negara.

“Di Kuala Lumpur, sebanyak 420 serbuan dilakukan dengan 1,115 individu ditahan sepanjang tempoh berkenaan.

“Selain itu, sebanyak 55 serbuan dibuat menerusi Op Bersepadu bersama lain-lain jabatan PDRM dengan penahanan 117 individu dalam tempoh sama membabitkan serbuan pusat hiburan di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, PDRM sentiasa menjalankan risikan dan pemantauan ke atas laman sosial atau aplikasi yang dikesan mengiklankan aktiviti persundalan dalam usaha membanteras kegiatan itu.

“Selain itu, PDRM mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) untuk memantau laman sesawang internet bagi menyekat aktiviti sedemikian.

“PDRM terbuka menerima sebarang maklumat aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta mengalu-alukan kerjasama dari mana-mana pihak untuk menyalurkan informasi melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222.

“Bagi maklumat berkaitan aktiviti maksiat, orang ramai boleh menyalurkan informasi melalui emel Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) di alamat [email protected],” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan MCCC akan menyerahkan senarai 15 pusat hiburan didakwa menjadi tempat pengedaran dadah sintetik di ibu negara kepada Bukit Aman.

Presidennya Tan Sri Musa Hassan dipetik berkata, beliau sudah berhubung dengan Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan akan berjumpa dalam waktu terdekat.

Menurutnya, senarai premis pusat hiburan muzik tekno yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu diperoleh pihaknya menerusi tinjauan lapangan selain mendapat maklumat orang ramai.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker