Pelabur institusi jadi penjual saham tempatan

KUALA LUMPUR: Institusi tempatan kembali sebagai penjual bersih untuk ekuiti tempatan pada minggu lalu selepas dua minggu berturut-turut menjadi pembeli bersih, walaupun pada kadar aliran keluar yang kecil sebanyak RM7.9 juta, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research).

Dalam Laporan Aliran Dana mingguannya, firma penyelidikan itu berkata hari yang menyaksikan aliran masuk daripada institusi tempatan adalah pada Rabu dan Jumaat, masing-masing merekodkan RM146.1 juta dan RM20.3 juta.

“Sementara itu, pelabur runcit tempatan terus menjadi pembeli bersih minggu lalu dengan belian bersih RM24.5 juta pada Isnin, RM43.4 juta pada Rabu dan RM36.6 juta pada Khamis.

“Oleh itu, minggu berkenaan berakhir dengan peruncit tempatan menyokong pasaran dengan belian bersih berjumlah RM69.4 juta untuk minggu itu,” katanya.



Setakat tahun ini, pelabur runcit tempatan dan pelabur asing telah menjadi pembeli bersih dengan jumlah aliran masuk bersih masing-masing RM1.64 bilion dan RM6.45 bilion.

Institusi tempatan menjadi penjual bersih selama 20 daripada 25 minggu dagangan dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM8.09 bilion.

“Dari segi penyertaan, pelabur runcit, pelabur institusi dan pelabur asing semuanya merekodkan penurunan mingguan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) masing-masing pada -15.0 peratus, -5.9 peratus dan -48.0 peratus,” katanya.

MIDF Research berkata, pelabur asing terus menjual bersih ekuiti Asia untuk minggu berakhir 24 Jun tetapi pada kadar yang lebih perlahan, hampir separuh daripada jualan bersih pada minggu sebelumnya.



Ia berkata, berdasarkan data agregat sementara bagi tujuh bursa Asia, pelabur yang diklasifikasikan sebagai ‘asing’ bersih menjual AS$4.29 bilion minggu lalu, berbanding AS$7.67 bilion bersih yang dijual pada minggu sebelumnya.

Daripada 25 minggu dagangan pada tahun 2022, terdapat tujuh minggu belian bersih dan 18 minggu jualan bersih, katanya.

Pada minggu lalu, kesemua tujuh bursa Asia merekodkan aliran keluar asing bersih dengan aliran keluar besar-besaran di India, masing-masing berjumlah AS$1.84 bilion, Korea Selatan (AS$998.5 juta) dan Taiwan (AS$799.4 juta).

“Kami menyaksikan jualan bersih yang kukuh pada hari Isnin berjumlah AS$2.2 bilion terutama disebabkan oleh aliran keluar yang signifikan di India dan Korea Selatan, masing-masing pada AS$1.1 bilion dan AS$634.5 juta.

“Pelabur kemudian bertukar menjadi pembeli bersih pada hari Selasa yang menyaksikan belian bersih sebanyak AS$317 juta, didorong oleh aliran masuk kukuh di Taiwan pada AS$695.5 juta manakala Khamis menyaksikan aliran keluar dana asing terendah,” katanya.

Jualan bersih menambah sehingga AS$801.1 juta kerana semua bursa menyaksikan aliran keluar kecuali Malaysia yang mempamerkan belian bersih sebanyak AS$1.14 juta.

Pelabur asing kemudiannya menjadi pembeli bersih sekali lagi pada akhir minggu urus niaga, merekodkan AS$58.4 juta berikutan aliran masuk kukuh di Korea Selatan berjumlah AS$268.6 juta, yang kali terakhir dilihat pada 16 Jun.

Dana asing meninggalkan Thailand, Indonesia, Filipina dan India pada setiap hari dagangan minggu lalu.

MIDF Research berkata, Bursa Malaysia terus melihat aliran keluar minggu lepas, walaupun pada kadar yang lebih perlahan.

“Oleh itu, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyaksikan sedikit pemulihan walaupun berakhir di bawah paras 1,500 sekali lagi pada Jumaat pada 1,436.70,” katanya.

Pelabur asing kembali menjadi penjual bersih minggu lalu terutama pada Isnin dan Rabu yang menyaksikan aliran keluar bersih masing-masing RM17.2 juta dan RM189.5 juta.

“Sebelum jualan besar-besaran pada Rabu, mereka telah membeli bersih ekuiti Malaysia bernilai RM133.7 juta pada Selasa.

“Walaupun kami melihat pulangan kepada aliran masuk bersih pada Khamis dan Jumaat, masing-masing berjumlah RM5 juta dan RM6.5 juta, ia tidak mencukupi untuk mengubah pergerakan untuk minggu itu.

“Dengan yang demikian, minggu itu berakhir dengan aliran keluar bersih RM61.5 juta oleh pelabur asing,” katanya.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker