Berbusana Melayu menonton Mat Kilau umpama fenomena filem Star Wars

Kuala Lumpur: Penampilan penonton ke pawagam dengan berpakaian baju Melayu lengkap bersamping dan bertanjak mencetuskan fenomena tersendiri buat filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan.

Malah, ada juga yang membuat persembahan pencak silat sebelum menonton filem itu di pawagam Eastern Plaza Tawau, Sabah.

Pengarahnya, Syamsul Yusof berkata, ia satu fenomena untuk filem Melayu yang sebelum ini banyak dilihat apabila menonton filem Star Wars dan filem adiwira lain.

“Bagi saya satu fenomena. Sebelum ini kita tengok penonton pakai kostum Star Wars kalau pergi menonton filem itu. Jadi, ini satu kebangkitan bukan saja kepada pahlawan tapi juga panggung di Malaysia dan penonton itu. Kalau kita tengok mereka pakai busana lengkap dengan keris dan tanjak serta yang perempuan pun pakai baju klasik.

“Nampaklah penonton ke pawagam mereka membawa semangat bangsa itu sendiri. Alhamdulillah dan sebab itulah saya mengambil projek ini, menghasil dan mengarahkan filem ini dengan begitu teliti sekali. Ini kerana saya tahu tanggungjawab ini besar dan penonton Malaysia dan Melayu mengharapkan sesuatu dalam filem ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Syamsul, kejayaan dicapai filem itu sudah semestinya datang daripada sokongan penonton.

“Alhamdulillah, majoriti iaitu 90 peratus rakyat Malaysia memberikan komen positif. Malah, perkara ini bukan saja fenomena tapi juga trending beberapa hari di Twitter dan TikTok. Bukan saja saya, penerbit dan pasukan bersyukur dan berbangga, tapi ini kejayaan pengkarya secara keseluruhan dan penonton Melayu.

“Nak menghasilkan sesuatu filem berjaya perlu ada sokongan daripada penonton dan kesungguhan daripada pengkarya. Jadi tercapailah matlamat nak menghasilkan filem tokoh yang baik,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker