Dakwaan Tajuddin ‘rosakkan’ kesepakatan Umno

Kuala Lumpur: Tindakan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hanya mengundang perpecahan dalam Umno sedangkan parti itu disifatkan sudah berada di landasan tepat dalam mewujudkan kesepakatan antara kepimpinan parti bagi menuju pilihan raya.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata, tindakan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu juga hanya akan menjadi peluru buat pihak lawan bagi menyerang parti berkenaan.

Menurutnya, melalui kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai Presiden dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, Umno sepatutnya berada di ambang kemenangan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan ia tidak seharusnya digugat dengan dakwaan seperti itu.

“Parti ini parti yang sepatutnya di ambang kemenangan…takkanlah kita nak mengundang kekalahan dengan perpecahan…pilih kesepakatan, pilih kestabilan.

“Sudah tentu yang paling gembira mendengar dakwaan ini adalah pihak lawan, segala dakwaan ini menjadi peluru untuk terus menyerang Umno.

“Naratif lawan akan jadi mudah, bagaimana Umno hendak jual kestabilan kalau dalam Umno sendiri tak berpadu?” katanya dalam kenyataan, di sini.

Tajuddin yang juga bekas ahli MKT Umno hari ini menggesa Ahmad Zahid melepaskan jawatannya secara terhormat demi kepentingan parti.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu turut mendedahkan Ahmad Zahid mengetuai bagi mendatangani akuan bersumpah (SD) dalam kalangan Ahli Parlimen Umno bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Pada masa sama, Shahril berkata, institusi Presiden Umno itu perlu dihormati kerana Ahmad Zahid menang secara bertanding.

Beliau berkata, pihaknya menyangkal dakwaan bahawa presiden lemah dan merupakan liabiliti kepada parti sedangkan Umno mencapai kejayaan memenangi tujuh pilihan raya di bawah kepimpinan Ahmad Zahid.

“Satu hari ada juga pihak kata perdana menteri lemah, sedangkan beliau sedang sibuk sehabis baik mengurus negara dalam keadaan ekonomi dan politik cukup mencabar.

“PAU (Perhimpunan Agung Umno), PAU Khas, Konvensyen BN (Barisan Nasional) sudah menampakkan kesepakatan untuk menuju pilihan raya.

“Parti sudah buat keputusan bahawa presiden dan timbalan jaga parti, perdana menteri jaga kerajaan…bergerak seiring.

“Pemilihan selepas PRU, tarikh PRU ‘top 5’ bincang, bawa ke MKT, kemudian ‘on’ (jadi). Tak perlu gaduh atau syak wasangka. Kalau boleh berpegang kepada semua ini, ahli tenang, Umno menang,” katanya.

METRO

Leave a Reply