Fernandinho kembali ke Athletico Paranaense

SAO PAULO: Bekas kapten Manchester City Fernandinho kembali ke kelab pertamanya Athletico Paranaense, kata kelab Brazil itu.

Pemain tengah 37 tahun itu, yang meninggalkan City akhir musim lalu selepas mengharungi sembilan tahun yang gemilang di England, menandatangani kontrak dua setengah tahun bersama kelab lamanya itu.

“Ia satu kepuasan dapat pulang ke kampung halaman. Saya harap dapat mencurahkan sedikit pengalaman yang saya kutip sepanjang bermain di Eropah,” kata Fernandinho.

Dilahirkan di Parana, Fernandinho memulakan kariernya ketika remaja di Athletico pada tahun 2002 sebelum berpindah ke Ukraine menyertai Shakhtar Donetsk pada tahun 2005.



Selepas lapan tahun di Donetsk yang menyaksikannya memenangi enam kejuaraan liga, empat piala Ukraine dan Piala UEFA, Fernandinho menarik perhatian City.

Ketika itu dia sudah mewakili Brazil sebanyak 50 kali, membantu Selecao memenangi Copa America 2019 dan beraksi di dua edisi Piala Dunia.

Bersama City, dia memenangi liga gelaran Liga Perdana Inggeris, Piala FA, enam Piala Liga dan beraksi pada final Liga Juara-Juara Eropah 2021.

Dia mengejutkan pengendali City Pep Guardiola April lalu apabila mengumumkan akan meninggalkan kelab akhir musim lalu.



Athletico kini di tangga ketiga liga Brazil dan lolos ke pusingan 16 terakhir Copa Libertadores, di mana mereka akan menentang Libertad dari Paraguay.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker