Keperluan hidup mendesak punca muflis

Ringgit Weakening

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk memperhalusi Akta Insolvensi 1967 bagi mengelak lebih ramai muflis, tepat pada masanya berikutan paras hutang isi rumah yang tinggi berpunca daripada keperluan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Penganalisis Ekonomi Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata rakyat tiada pilihan kecuali terpaksa berhutang untuk meneruskan kehidupan yang akhirnya membawa kepada kebankrapan apabila gagal melunaskannya.

“Tekanan disebabkan faktor persekitaran semasa dan sudah sampai masanya Akta Insolvensi 1967 dikaji semula,” katanya kepada BH.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin mengumumkan bahawa undang-undang itu menjadi perhatiannya selepas dimaklumkan 60 peratus individu muflis di negara ini terdiri daripada belia, hasil Laporan Pantauan Ekonomi oleh Bank Dunia.



Perkembangan itu berlaku walaupun kerajaan pernah menaikkan nilai ambang daripada RM50,000 kepada RM100,000 yang berkuat kuasa sehingga 31 Ogos tahun lalu.

Pada 27 September 2021, Perdana Menteri mengesahkan di Parlimen bahawa 10,317 individu diisytihar muflis dan 1,246 perniagaan gulung tikar sepanjang Mac 2020 hingga Julai tahun lalu.

Namun, berdasarkan perangkaan sehingga 31 Disember 2021 yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi, 289,766 kes sedang ditadbir, iaitu dalam proses kebankrapan.

Irwan Shah berkata, Malaysia perlu mencontohi tindakan diambil beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS) untuk menguruskan rakyat yang mempunyai paras hutang tinggi dengan memberi peluang kedua kepada mereka yang terjebak masalah berkenaan.



“Ketika ini, kita tahu ramai, terutama anak muda yang terkesan dari segi ekonomi akibat COVID-19 selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang agak lama. Ini diburukkan lagi dengan masalah stagflasi yang melanda, ditambah kos sara hidup serta makanan dan keperluan asas yang melonjak.

“Jadi, secara dasarnya ini bukan salah rakyat untuk berhutang dan kenapa mereka perlu dihukum? Kenaikan inflasi dan kos sara hidup yang begitu tinggi bukan salah mereka. Jadi, kerajaan perlu bantu bukannya menghukum,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia, Prof Dr Laily Paim, berkata mengikut rekod kebankrapan, ia banyak berlaku disebabkan penggunaan kad kredit khususnya dalam golongan muda.

Beliau mencadangkan bank institusi pemberi pinjaman lebih tegas dengan memperketatkan syarat meluluskan kad kredit serta pinjaman peribadi.

Beliau berkata, kesedaran, pengetahuan dan kemahiran berkaitan pengurusan kewangan dalam kalangan pengguna perlu ditingkatkan melalui kaedah pendidikan kepenggunaan yang berkesan.

“Pengguna sendiri perlu memainkan peranan utama dengan mengamalkan gaya hidup sederhana mengikut kemampuan,” katanya.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, bagaimanapun berpandangan penangguhan tindakan mahkamah atau menaikkan ambang muflis tidak akan membantu, malah menjadikan isu bankrap dalam kalangan generasi muda lebih teruk.

“Kerajaan sepatutnya berbincang dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk mewujudkan alternatif pembiayaan kepada rakyat supaya tidak bergantung kepada bank dan kadar faedah yang tinggi.

“Contoh pembiayaan yang boleh diperkenalkan ialah pinjaman berbentuk Qardhul Hassan untuk pembiayaan peribadi, pembiayaan kereta berasaskan langganan bulanan, pembelian rumah melalui musyarakah mutanaqisah dan menggalakkan guna kad debit serta meletak syarat yang ketat untuk memiliki kad kredit,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker