‘Pemalsuan dokumen dibuat atas arahan’ – saksi

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (Consortium Zenith) memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, beliau mengetahui tindakan memalsukan invois dan baucar bayaran adalah satu kesalahan jenayah berat, ketika perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ibrahim Sahari, 58, berkata tindakan itu diambil mengikut arahan Pengarah Consortium Zenith, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli serta bekas Naib Presiden Kanan Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Consortium Zenith, Azli Adam bagi kepentingan syarikat.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-29 itu menafikan beliau, Zarul Ahmad dan Azli ‘master fabricator’ atau dalang dalam membuat rekaan membabitkan isu berkenaan.

Guan Eng didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut, di negeri itu.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang di Tingkat 21 Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan, iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Zarul yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di KOMTAR.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan, iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah, bagi melakukan perkara yang dicadangkan, iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens di Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011 antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker