Serang polis, suspek kes bunuh maut ditembak

Oleh – Syeikh Baran


Serang polis, suspek kes bunuh maut ditembak
Foto Hiasan

Seorang lelaki warga Indonesia yang juga suspek kes pembunuhan kejam maut ditembak di sebuah flet di kawasan Bukit Subang, di sini, ketika cuba menyerang anggota polis menggunakan parang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata kejadian berlaku ketika sepasukan anggota dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melakukan serbuan ke tingkat lima flet terbabit kira-kira jam 5.30 petang.



“Serbuan dilakukan bagi menangkap suspek bersabit satu kes bunuh di Sungai Way di Petaling Jaya pada 29 Januari lalu.

“Kes itu membabitkan mangsa seorang wanita Indonesia berumur 19 tahun yang dibunuh kejam dengan lapan kesan tikaman.

“Hasil siasatan mendapati semasa serbuan, suspek yang juga lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 20-an bertindak agresif menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang di tempat kejadian,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Hussein berkata, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan bagi mempertahankan diri menyebabkan suspek meninggal dunia di tempat kejadian.



“Sebilah parang panjang berukuran 28 sentimeter turut dirampas dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button