Seleweng minyak masak paket bersubsidi

PASIR GUDANG: Minyak masak dalam paket bersubsidi yang dibeli secara pukal, dicampurkan dalam tangki minyak terpakai sebelum dijual semula kepada syarikat biodiesel di sini.

Kegiatan itu menjadi modus operandi sebuah kilang yang menjalankan aktiviti pengumpulan dan penjualan minyak masak terpakai di Kota Masai di sini, bagi mendapatkan kuantiti yang lebih sebelum dijual semula kepada pelanggan mereka.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro, berkata serbuan ke atas premis itu dilakukan sepasukan anggota penguatkuasa KPDNHEP kira-kira 11 pagi, semalam.



Katanya kegiatan seleweng itu dipercayai telah dilakukan dalam tempoh setahun.

“Premis yang diserbu disyaki menjalankan kegiatan ini dengan berselindung di sebalik aktiviti pengumpulan dan penjualan minyak masak terpakai.

“Premis ini disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki, dengan cara memotong minyak masak plastik polibag (peket) dan mencampurkan ke dalam tangki minyak masak terpakai bagi mendapatkan kuantiti yang banyak untuk jualan dan keuntungan yang lebih.

“Dalam serbuan itu telah menemui dan menyita sejumlah 13.6 tan metrik minyak masak yang disyaki telah dicampur bersama minyak masak terpakai yang dianggarkan bernilai RM 88,785.



“Kami juga menahan seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun yang juga, merupakan pemilik syarikat bagi membantu siasatan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Hairul Anuar berkata, pihaknya turut menyita peralatan yang digunakan dalam aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi serta rakaman CCTV di lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut akan dijalankan terhadap pemilik premis tersebut.

“Kita tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras aktiviti penyelewengan subsidi barang kawalan demi kepentingan rakyat,” katanya.



Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang jika disabitkan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara selama 3 tahun atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM 2 juta bagi kesalahan pertama dan RM 5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button