Siapa PM sekarang? – Ahmad Maslan

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan mempersoalkan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu yang dilantik sebagai perdana menteri selepas wujudnya dakwaan berhubung akuan bersumpah (SD) kononnya Presiden PKR itu mahu diangkat sebagai pemimpin negara.

Ahmad sebaliknya menegaskan Datuk Seri Ismail Sabri yang diangkat sebagai perdana menteri selepas ‘pengorbanan’ dibuat 15 ahli Parlimen termasuk Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memberi laluan buat Naib Presiden Umno itu memimpin negara.

“SD apa? Jadi ke perkara itu? Perdana menterikan DSIS (Datuk Seri Ismail Sabri). Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ke perdana menteri?

“Siapa 15 ahli Parlimen yang desak dan akhirnya Ismail Sabri jadi perdana menteri? Tajuddin (Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman) ke?” katanya kepada BH, di sini.

Hari ini, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Tajuddin yang juga Duta Besar Malaysia ke Indonesia mendedahkan Ahmad Zahid mengetuai bagi menandatangani SD dalam kalangan Ahli Parlimen Umno bagi menyokong Presiden PKR, Anwar sebagai Perdana Menteri.

Pada masa sama, Ahmad berkata hasil perjuangan Ahmad Zahid dalam Umno dibuktikan apabila wakil parti itu berjaya dilantik sebagai perdana menteri.

Beliau berkata, Ahmad Zahid juga terpaksa membayar harga yang mahal dengan melawan kehendak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Umno dibubarkan sebelum ini.

“Dalam perjuangan yang penting adalah hasilnya…perjuangan presiden, dibantu timbalan dan ahli MKT antaranya kita menang tujuh pilihan raya.

“Yang terbesar ialah apabila 15 ahli Parlimen mendesak yang akhirnya Ismail Sabri menjadi perdana menteri.

“Ini cerita Presiden Umno dan hasilnya, apa cerita Tajuddin, Annuar Musa (Tan Sri) dan Mohamed Nazri Aziz (Datuk Seri)…cerita mereka itu apa hasilnya?” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, mengakui tidak tahu menahu mengenai kewujudan SD yang dikaitkan dengan Ahmad Zahid.

Beliau berkata, pihaknya percaya dakwaan Tajuddin itu tidak akan menjejaskan imej parti kerana ramai sedia maklum akan sikap Ahli Parlimen Pasir Salak itu.

“Mana saya tahu pasal SD. Saya bukan Ahli Parlimen macam Tajuddin dan Mohamed Nazri yang tandatangan banyak SD.

“Imej Umno dah lama dirosakkan oleh veteran macam Tajudin ia sudah tak menambah kesan buruk kepada parti. Tapi saya khuatir perlantikan Tajuddin sebagai diplomat dan Duta ke Indonesia akan membawa kesan negatif kepada negara dengan watak kasar beliau.

“Tajuddin itu sendiri buat angkara yang telah menjejaskan imej parti, imej parti rosak kerana Tajuddin dan dia tak membawa faedah kepada parti. Jadi dia tak ada peranan dalam MKT,” katanya.

Nur Jazlan berkata, Tajuddin sebaiknya dipecat daripada parti apatah lagi dengan kewujudan skandal dikaitkan dengan beliau sebelum ini.

“Saya rasa itu pandangan majoriti ahli parti (pecat) selepas beberapa skandal beliau seperti di Prasarana yang menjejaskan parti,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker