Sri Lanka lanjut henti penjualan bahan api

COLOMBO: Sri Lanka yang bergelumang dengan masalah kekurangan wang semalam mengumumkan pemberhentian semua penjualan bahan api selama dua minggu, kecuali untuk perkhidmatan penting.

Kerajaan juga merayu kepada sektor swasta supaya membenarkan pekerja bekerja dari rumah selepas negara itu berdepan kehabisan bekalan bahan api.

“Bermula tengah malam Isnin, tidak ada bahan api yang akan dijual kecuali untuk perkhidmatan penting seperti sektor kesihatan kerana kita mahu menjimatkan sedikit rizab yang ada,” kata jurucakap kerajaan, Bandula Gunawardana.

Pada masa sama, beliau memohon maaf kepada pengguna kerana kekurangan yang berlaku.

“Kami menyesal akibat ketidakselesaan yang timbul ke atas orang ramai,” katanya.

Sri Landa berdepan krisis ekonomi terburuk sejak mencapai kemerdekaan pada 1948 dan tidak dapat membiayai walaupun kebanyakan produk penting seperti bahan api, makanan, ubat-ubatan sejak hujung tahun lalu.

Negara itu turut merekodkan paras inflasi tinggi dan pemotongan bekalan tenaga berpanjangan sehingga mencetuskan protes berbulan-bulan lamanya, yang kadangkala bertukar ganas bagi memaksa Presiden Gotabaya Rajapaksa berundur.

Minggu lalu, semua sekolah kerajaan ditutup dan institusi kerajaan perlu beroperasi dalam jumlah kecil sebagai penjimatan penggunaan bahan api kerana kerajaan tidak mempunyai wang untuk membiayai urusan import.

Penutupan sektor kerajaan sepatutnya berakhir minggu ini, tetapi sekarang dilanjutkan sehingga 10 Julai depan. Ia selepas Gunawardana berjanji untuk memulihkan bekalan bahan api.

Kerajaan juga merayu kepada sektor sektor supaya mengikut langkah sama.

Pengumuman tidak dijangka itu disusuli sehari selepas Colombo berkata, pihaknya akan melaksanakan sistem token untuk mengagihkan catuan stok bahan api yang terhad.

Keadaan itu mengakibatkan orang beratur panjang di beberapa stesen minyak yang masih membekalkan bahan itu.

Awal bulan ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan tindak balas kecemasan untuk membantu negara pulau itu yang sedang bergelut dalam krisis ekonomi yang tidak dijangka untuk menyalurkan bantuan berupa makanan kepada wanita mengandung yang berdepan kekurangan makanan.

AFP

Leave a Reply