Pengganti Presiden PBS diketahui hari ini

Kota Kinabalu: Pengganti Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dijangka diketahui selepas selesai proses pemilihan sempena Persidangan Agung Tahunan Ke-36 dan Ke-37 parti itu, hari ini.

Dua nama yang bertanding jawatan Timbalan Presiden menjadi perhatian berikutan pemenangnya dilihat sebagai calon pengganti Maximus iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kundasang, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Adun Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.

Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah adalah antara pemimpin senior PBS yang kini menyandang jawatan Naib Presiden, manakala Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri dan menyandang jawatan Setiausaha Agung mewakili pemimpin baharu.



Kelmarin, Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) mengumumkan akan melepaskan jawatan presiden PBS yang disandangnya sejak November 2018 dalam tempoh tiga tahun lagi, iaitu sehingga pemilihan parti itu yang akan datang.

Beliau yang tidak dicabar bagi jawatan presiden pada pemilihan PBS yang berlangsung hari ini, berkata, penggantinya akan diketahui selepas pemilihan parti hari ini.

“Saya akan terus jadi presiden sehingga kongres parti yang akan datang, tetapi sebelum atau apabila tiba kongres itu nanti kita akan kenal pasti siapa presiden yang akan datang.

“Siapa calon pengganti akan diketahui selepas keluar keputusan pemilihan parti pada Khamis ini (hari ini),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Pergerakan Wanita dan Pemuda PBS Ke-36 dan Ke-37, di sini, kelmarin.



Berdasarkan amalan parti itu sebelum ini, pengganti jawatan presiden diumumkan lebih awal sebelum pemimpin terbabit dilantik seperti dilakukan presiden terdahulu, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang menamakan timbalannya, Maximus sebagai pengganti atau pemangku presiden setahun sebelum jawatan presiden diserahkan secara rasmi kepadanya pada November 2018.

PBS mempunyai tiga kuota Timbalan Presiden, masing-masing mewakili Bumiputera bukan Islam, Bumiputera Islam dan bukan Bumiputera (Cina), namun calon pengganti presiden lebih cenderung dari penyandang Timbalan Presiden bagi kuota Bumiputera bukan Islam.

Ketika ini, jawatan Timbalan Presiden bagi Bumiputera bukan Islam disandang bekas Adun Melalap, Datuk Radin Maleh, namun beliau tidak mempertahankan jawatan itu, manakala dua lagi jawatan Timbalan Presiden masing-masing disandang Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim dan bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Yee Moh Chai.

Jahid yang juga Adun Tamparuli mengekalkan jawatan tanpa bertanding, manakala Moh Chai ditentang bekas Adun Tanjung Aru, Datuk Edward Yong Oui Fah.



Bagaimanapun, tumpuan lebih kepada pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden bagi kuota Bumiputera bukan Islam kerana pemenangnya, sama ada Joniston atau Dr Joachim dilihat sebagai bakal calon pengganti Maximus.

Pemilihan parti itu dijadual bermula selepas perasmian Persidangan Agung Tahunan Ke-36 dan Ke-37 yang akan disempurnakan Maximus pada jam 10 pagi ini.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button