1,360 kes jangkitan ILI di Kedah

Alor Setar: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan terdapat 1,360 kes jangkitan Penyakit Seperti Influenza (ILI) majoriti membabitkan sekolah berasrama di negeri ini bermula 31 Mei hingga 28 Jun.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, jangkitan itu membabitkan 18 kluster iaitu di 17 sekolah dan sebuah pusat pemulihan.

“Jumlah kes tertinggi ialah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi dengan 321 kes direkodkan diikuti Sekolah Sains Sultan Mohamad Jiwa di Sungai Petani dengan 117 kes direkodkan.



“Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Khas Serdang, Kulim dan MRSM Merbok pula masing-masing mencatatkan 115 kes manakala Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu sebanyak 100 kes,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dr Mohd Hayati berkata, semua sekolah berkenaan masih dibenarkan beroperasi berikutan kes tidak serius.

Katanya, penyakit berjangkit ILI sering berlaku di lokasi yang sesak seperti di asrama sekolah dan ia merebak melalui titisan dikeluarkan oleh individu dijangkiti.

“ILI disebabkan oleh virus dan ia merebak melalui individu yang dijangkiti apabila mereka bersin, batuk dan apabila mereka berkongsi barangan dengan orang lain.



“Pencegahan boleh dibuat melalui kuarantin, kebersihan, etika batuk dan bersin yang betul. Tiada rawatan khusus tetapi rawatan akan diberikan berdasarkan simptom,” katanya.

Justeru, Dr Mohd Hayati menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan sekiranya menyedari sebarang gejala ILI.

Ini kerana katanya, penyakit itu boleh menjadi serius bagi individu yang mempunyai sistem imun yang terjejas.

“Jika sebarang gejala berterusan, sila dapatkan rawatan, untuk kebanyakan kes, ia biasanya akan baik dengan sendirinya.



“Melainkan bagi individu yang mempunyai sistem imun yang terjejas seperti pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi, orang yang mengambil steroid selepas pemindahan organ, dan pesakit penyakit auto imun,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button