4,300 tulang manusia ditemukan

Mexico City: Satu longgokan besar tulang manusia ditemukan di ruang bawah tanah rumah seorang pembunuh kanibal.

Portal Daily Star melaporkan polis di Mexico menemui penemuan menakutkan itu di rumah Andres Filomeno Mendoza, 73, atau digelar Kanibal Atizapan.

Dia ditahan tahun lalu oleh polis yang menyiasat kehilangan salah seorang mangsanya.

Di dalam rumah lelaki itu, penyiasat terkejut apabila menemui mayat wanita yang ‘dicacatkan’ di atas meja.

Lelaki itu juga mengaku membunuh kira-kira 30 wanita sejak 1990 dan mencatatkan semua nama mangsa di dalam buku nota serta mengaku memakan sebahagian daripada mereka juga.

Polis tempatan menemui 4,300 tulang dan serpihan di rumah itu sejak tahun lalu, kebanyakannya tertimbus di bawah konkrit di ruang bawah tanah dengan 300 lagi ditemukan dalam tempoh empat bulan lalu.

Media tempatan melaporkan, tulang itu kemungkinan milik 19 mangsa, terdiri daripada 17 wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak.

Mendoza dipenjara seumur hidup pada Mac lalu kerana membunuh seorang mangsa yang hanya dikenali sebagai Reyna N.

Mangsa itu kali terakhir dilihat hidup pada 14 Mei 2021, ketika pergi membeli-belah dan dilaporkan terserempak dengan suspek yang tinggal berdekatan.

Dia dipercayai adalah wanita yang anggota badannya ditemui di atas meja oleh pegawai.

Pendakwa raya Dilsya Garcia berkata, pihaknya menemui ruang bawah tanah yang dibuat oleh suspek dengan mayat manusia.

Media tempatan berkata, Mendoza bertemu dengan ramai mangsanya di kelab malam, sebelum memperdayakan mereka untuk pulang bersamanya.

Dia kemudian menikam jantung, memotong badan mangsa dan menanamnya di ruangan bawah tanah.

Pembunuh bersiri berkenaan kemudian melemparkan garam ke atas mayat mangsa.

METRO

Leave a Reply