Lari tinggalkan anak, bayi elak ditahan

Polis siasat dakwaan ADUN Selangor dera bekas isteri

Kuala Lumpur: Demi menyelamatkan diri daripada ditahan, sekumpulan warga asing sanggup meninggalkan anak mereka di rumah sendirian.

Situasi berkenaan dapat disaksikan wartawan yang menyertai serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di kawasan setinggan di Kampung Masjid Segambut, di sini, awal pagi tadi.

Serbuan bermula jam 1.05 pagi itu disertai 48 pegawai dan anggota JIM Kuala Lumpur bersama beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ketika pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah rumah, anggota bertugas mendapati hanya terdapat seorang kanak-kanak perempuan berusia lingkungan tujuh atau lapan tahun serta seorang bayi berusia kira-kira setahun ditinggalkan bersendirian.



Kanak-kanak dan bayi dipercayai warga asing itu ditemui tidur di sebuah bilik tanpa ditemani orang dewasa di rumah berkenaan.

Usaha anggota bertugas mencari ibu bapa atau penjaga kanak-kanak serta bayi itu menemukan jalan buntu dan dipercayai mereka melarikan diri bagi mengelakkan ditahan.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin berkata, seramai 92 warga asing diperiksa dalam serbuan itu.

“Daripada jumlah itu, seramai 76 warga asing dari Indonesia dan Bangladesh ditahan membabitkan 46 lelaki, 23 wanita, enam kanak-kanak lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan.



“Mereka berusia antara dua bulan hingga 57 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan diri sah,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, awal pagi tadi.

Syamsul berkata, warga asing di kawasan itu menyewa rumah atau bilik di kawasan setinggan berkenaan daripada penduduk tempatan.

“Berdasarkan maklumat, rumah di kawasan ini disewa pada harga antara RM600 hingga RM800 sebulan, manakala bagi bilik pula disewa pada harga RM300 sebulan.

“Kebanyakan warga asing yang menetap di kawasan ini bekerja di tapak pembinaan bagi lelaki dan tukang cuci bagi wanita,” katanya.

Mengulas mengenai kanak-kanak dan bayi yang ditinggalkan bersendirian di sebuah rumah ketika serbuan itu, beliau berkata, pihaknya sedang mengenal pasti sama ada mereka ditinggalkan oleh ibu, bapa atau penjaga.

“Kami percaya ibu, bapa atau penjaga mereka melarikan diri dengan meninggalkan kanak-kanak serta bayi berkenaan bersendirian di rumah kerana mahu mengelak ditahan,” katanya.

Katanya, semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Tambahnya, serbuan itu adalah sebahagian daripada operasi besar-besaran yang diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin susulan Program Rekalibrasi Pulang yang tamat, semalam.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker