Lelaki langgar kenderaan JPJ guna jengkaut

KENINGAU: Polis menahan pemandu jentolak yang melanggar pacuan empat roda milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga terbalik menggunakan jengkaut dalam kejadian di Jalan Kepayan, Kampung Magatang, di sini, semalam.

Lelaki berusia 60 tahun itu ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, selepas menerima laporan jam 6.32 petang.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim, berkata pihaknya menerima laporan polis berkenaan kejadian seorang individu menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas.

Katanya, individu terbabit turut menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.



“Siasatan awal mendapati ketika menjalankan operasi harian, salah seorang anggota JPJ cawangan Keningau menahan dan membuat pemeriksaan ke atas kenderaan berat jenis backhoe yang mencurigakan.

“Ketika pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat kesalahan. Ketika saman hendak dikeluarkan, pemandu terbabit tidak berpuas hati dan marah dengan bertindak melanggar kenderaan JPJ yang dinaiki oleh petugas hingga mengakibatkan kerosakan pada kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Nor Rafidah berkata, petugas bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dan tiada kecederaan ketika kejadian berlaku.

“Kejadian kemudian dimaklumkan kepada polis dan suspek ditahan di lokasi kejadian pada hari yang sama.



“Polis turut merampas jengkaut yang digunakan ketika kejadian. Suspek warga tempatan dan rampasan dibawa balik ke IPD Keningau untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan antaranya kerana menghalang tugas penjawat awam serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Orang awam dinasihati untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap video tular di media sosial yang akan mengganggu siasatan polis,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 51 saat memaparkan tindakan seorang lelaki melanggar kenderaan pacuan empat roda milik JPJ hingga terbalik menggunakan jengkaut yang dipandunya.

Rakaman kejadian yang tular di media sosial bagaimanapun memaparkan anggota dan pegawai JPJ yang terbabit terselamat tanpa sebarang kecederaan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker