MAIPk akan naikkan kadar bantuan kepada asnaf

Ipoh: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan meningkatkan kadar pengiraan had kifayah zakat susulan cabaran ekonomi termasuk penarikan subsidi beberapa barangan keperluan mulai hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Azam Shaari berkata, perkara berkenaan sudah dibincangkan di peringkat pengurusan MAIPk dengan jawatankuasa fatwa bagi mengkaji kadar kenaikan kadar had kifayah.

“Kita takkan buat satu lagi kajian menyeluruh kerana baru sahaja laksanakan tahun lalu dengan turun padang di seluruh negeri.

“Jumlah minimum kadar itu kita sudah ada, berkemungkinan kita akan membuat satu persefahaman dengan ahli pengkaji bersama jawatankuasa fatwa untuk kita naikkan kadar minimum itu, jadi tidak perlulah kita mengambil masa untuk membuat kajian semula,” katanya.



Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak yang dirasmikan oleh Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Mohd Annuar Zaini di Dewan Al Ghazali Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Shahrul Azam berkata, kajian itu juga dibuat berdasarkan keadaan sosioekonomi semasa rakyat dalam negara ketika ini.

“Jadi, dengan keadaan sekarang ini, rakyat menempuh sosioekonomi yang makin mencabar.

“Ditambah pula bermula hari ini, kebanyakan subsidi mula tiada, sudah tentu kesukaran di peringkat masyarakat terutama yang tidak berpendapatan tinggi,” katanya.



Beliau berkata, sehubungan itu, akan ada peningkatan dari segi bantuan bulanan kepada penerima berkaitan pendidikan, modal perniagaan dan sebagainya.

Menurutnya, MAIPk sudah mula melaksanakan had kifayah sejak 2009 dan dibuat berdasarkan keperluan dan perkembangan ekonomi semasa.

“Kita melihat perkembangan ekonomi pada masa itu sekiranya memerlukan untuk kita buat kajian.

“Jadi, kita sudah membuat kajian sejak 2009, dan tiga kali kajian sudah dibuat pada 2012, 2014 dan terkini tahun lalu.

“Berdasarkan perkembangan terkini sejak pandemik Covid-19 meletus dua tahun lalu, banyak kumpulan jatuh miskin, daripada situ kita membuat kajian semula, Alhamdulillah, tahun lalu kita menaikkan kadar penerima bantuan terutama sekali bantuan bulanan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak RM141 juta jumlah agihan zakat tahun lalu dan dianggarkan meningkat sebanyak RM158.9 juta tahun ini untuk di agihkan kepada asnaf.

Media sebelum ini melaporkan, Majlis agama Islam negeri-negeri disaran agar menambah baik kadar pengiraan had kifayah zakat dan garis panduan untuk menentukan garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Muhammad Faisal Abdul Aziz dilaporkan berkata, tindakan kerajaan menamatkan subsidi ke atas barang keperluan tertentu dan peningkatan kadar inflasi perlu diambil kira sebagai penambahbaikan garis panduan tersebut.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker