Peniaga perlu jujur pamer caj tambahan

Shah Alam: Mana-mana peniaga ayam yang tidak mempamerkan tanda harga caj tambahan termasuk bagi upah memotong bekalan itu boleh dikenakan tindakan tegas mengikut perundangan sedia ada.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peniaga perlu lebih bertanggungjawab dan jujur dalam soal itu meskipun pihaknya belum menetapkan akdar caj yang bersesuaian.

“Kalau mereka (peniaga) mengenakan caj, mereka (peniaga) perlu mempamerkan untuk pengguna tahu akan ada dikenakan caj lebihan.



“Kementerian kawal. Kalau ada aduan yang kita terima dan apabila disiasat dan kita dapati caj itu tidak berpatutan, kita akan ambil tindakan sebab ada peraturan dan undang-undang untuk menangani masalah itu.

“Buat masa sekarang kita pantau. Kita belum lagi letakkan kadar (caj tambahan), tapi kita harap peniaga beretika, jangan mengaut keuntungan tidak berpatutan, manakala pengguna tahu hak mereka,” katanya pada sidang media selepas meninjau penjualan ayam dan telur di Seksyen 15, di sini hari ini.

Mengiringinya, Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam.

Dalam pada itu, Alexander berkata, peniaga tidak wajar mengenakan caj tambahan memandangkan harga siling ayam yang baharu sudah ditetapkan pada RM9.40.



“Sepatutnya tiada lagi alasan (kenakan caj tambahan) sebab harga (siling) yang tetapkan kali ini ini sudah mengambil kira margin mencukupi untuk mereka, tidak perlu mengenakan caj lebih.

“Kalau ada pun (kenakan caj), (kita nasihat) janganlah caj tidak berpatutan (kepada pengguna)… (tapi) ini juga terpulang kepada pengguna sendiri,” katanya.

Hasil tinjauan dilakukan hari ini, beliau berkata, rata-rata peniaga termasuk di Seksyen 6 berpuas hati dengan harga siling ayam dan menyifatkan ia membantu mereka ‘bernafas’.

Rabu lalu, Alexander mengumumkan harga siling bagi ayam bulat standard di Semenanjung Malaysia adalah RM9.40 sekilogram dan telur ayam Gred A (0.45 sen sebiji), Gred B (0.43 sen sebiji) dan Gred C (0.41 sen sebiji) yang bermula hari ini.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button