2.4 juta kenderaan dijangka pulang ke Pantai Timur

Kuantan: Anih Berhad menjangkakan 1,648,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) manakala 704,000 kenderaan lagi di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) bermula 8 hingga 11 Julai ini.

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, penambahan 2.4 juta kenderaan itu sempena sambutan Aidiladha terutama bagi mereka yang akan menyempurnakan ibadah korban dan mengambil peluang bersama keluarga memandangkan cuti hujung minggu yang panjang.

Katanya, berdasarkan trend hujung minggu yang stabil sejak awal tahun ini, purata harian hujung minggu bagi Lebuhraya KLK adalah sebanyak 161,000 kenderaan manakala jumlah kenderaan di LPT1 pula direkodkan sebanyak 65,000 kenderaan.

“Oleh itu antara langkah yang diambil oleh Anih Berhad bagi meningkatkan tahap kesediaan pada musim perayaan kali ini ialah penambahan petugas dan anggota sebagai persediaan pengaktifan lorong-lorong tambahan jika berlaku peningkatan trafik.

“Selain itu ia membantu melancarkan aliran di lebuh raya dan mempertingkatkan tahap persediaan di semua fasiliti termasuk menjamin tahap kebersihan terbaik di semua Hentian Sebelah dan kawasan Rehat dan Rawat (RnR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya pengguna lebuh raya kini lebih cakna dengan persediaan yang diperlukan bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa dan selamat menjelang Aidiladha tahun ini.

Katanya, Aidiladha ini adalah kali ketiga rakyat Malaysia berpeluang pulang ke kampung halaman masing-masing sejak negara memasuki fasa endemik.

“Sungguhpun begitu, demi meningkatkan komitmen kami dalam menjamin keselesaan semua, Jadual Cadangan Perjalanan (TTA) tetap dikeluarkan sebagai peringatan di setiap musim perayaan.

“Anih Berhad mengingatkan pengguna supaya memandu dengan berhemah serta memastikan keadaan kenderaan optimum.

“Pengguna juga dinasihat memastikan baki e-wallet, Touch n’Go dan SmartTag mencukupi di samping mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

Untuk maklumat tepat dan terkini Lebuhraya KLK dan LPT1, sila rujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook@Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT – Line di 1-700-818-700.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker