Nauraj layak ke Kejohanan Olahraga Dunia

KUALA LUMPUR: Atlet lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa berpeluang mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih tiket ke Kejohanan Olahraga Dunia 2022 di Oregon, Amerika Syarikat pada 15 hingga 24 Julai ini.

Perkembangan itu disahkan Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil yang memaklumkan Nauraj layak selepas atlet berusia 30 tahun itu berada dalam kelompok 32 terbaik dalam ranking dunia.

“Ramai atlet terbaik di dunia tetapi Nauraj berjaya menempatkan diri dalam senarai. Jadi itu merupakan pencapaian terbaik dan membanggakan negara,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.



Mohd Manshahar berkata di Oregon, Nauraj sekurang-kurangnya perlu membuat lompatan setinggi 2.30 meter (m) yang juga rekod kebangsaan miliknya, untuk melangkah ke pentas akhir kejohanan itu sekali gus mengikuti jejak langkah bekas atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, pada 2019.

Katanya, Nauraj harus bekerja keras serta lebih berdisplin dalam sesi latihan bagi memperbaiki kelemahannya untuk membolehkan beliau melangkah ke final.

“Dia (Nauraj) perlu bersaing dengan atlet terbaik dunia dan bukan sesuatu yang mudah. Dia (mara ke final) bergantung kepada keupayaan beliau pada hari perlawanan.

“Tetapi tiada yang mustahil, apa-apa pun boleh berlaku, kalau dia mencapai lompatan di ketinggian 2.32m atau memecahkan rekod kebangsaan 2.30m, mungkin dia akan berada di kelompok terbaik, tetapi kalau dia buat kurang, dia hanya berada dalam 16 terbaik,” kata Mohd Manshahar.



Pada saingan di Oregon nanti, Nauraj yang bakal membuat penampilan keduanya di kejohanan dunia itu selepas penampilan pertama di Kejohanan Dunia di London pada Ogos 2017, dijadual memulakan aksi pusingan kelayakan pada 15 Julai dan pusingan akhir pada 17 Julai.

Sebagai rekod, pada edisi Kejohanan Dunia 2019 di Doha, Qatar, Hup Wei mencipta sejarah menjadi atlet pertama Malaysia mara ke pusingan akhir dalam kejohanan berprestij itu, sejak diperkenalkan pada 1938 oleh Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Kejayaan itu hadir selepas Hup Wei melakukan lompatan setinggi 2.29m di pusingan kelayakan sebelum menamatkan saingan final di kedudukan kelapan daripada keseluruhan 12 atlet apabila melakukan catatan 2.27m.

– BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button