Chacha, Fify bergasak dalam drama Special Force Anarchy

DUA figura muda seni lakon tanah air iaitu ChaCha Maembong, 26, dan Fify Azmi, 32, pastinya sudah tidak asing lagi dalam kalangan penonton drama mahupun filem tempatan.

Apatah lagi, kedua-duanya memiliki kehebatan lakonan tersendiri yang mana ChaCha cukup dikenali dengan watak antagonis, manakala Fify pula tangkas dalam aksi.

Namun, menerusi drama Special Force Anarchy arahan Syafiq Yusof akhirnya menggabungkan ChaCha dan Fify sebagai adik-beradik yang terbabit dalam satu misi khas dan penuh aksi.

Mengulas lanjut gandingan itu, ChaCha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Rohani Ismail berkata, ada dua sebab dia berasa amat teruja dipilih membintangi drama aksi berkenaan.

“Pertama sekali saya amat teruja dapat terbabit dalam drama aksi, Special Force Anarchy ini dan kedua, pastinya ia kerjasama kali pertama saya dengan Fify. Apatah lagi, saya dapat tahu, Fify sangat hebat sebagai pelakon aksi.

“Saya memang tak pernah berlakon dengan dia sebelum ini, tapi dengar-dengarnya Fify memang ‘gempak’ kalau buat aksi. Jadi, saya teringinlah juga nak bekerja dengannya sebab sudah tiba masa juga untuk mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Ditanya apakah yang mempengaruhi dirinya untuk mencabar diri berlakon aksi, ChaCha berkata, sebelum ini dia sudah banyak berlakon drama yang menjurus pada watak antagonis dan kini dia ingin berlakon watak aksi pula.

“Sememangnya, saya sendiri yang nak cuba berlakon naskhah aksi ini untuk melihat sejauh mana kemampuan diri. Sejauh mana juga yang saya boleh pergi dan boleh buat sebagai pelakon aksi,” katanya mengakui kagum dengan Fify.

Mengulas juga apakah dia ada berasa cemburu, ChaCha berkata, tiada sebab dia perlu berasa iri dengan Fify.

Katanya, dia memang tak cemburu dengan kemampuan Fify melakukan babak aksi sebab dia adalah pelakon yang bagus.

“Dia ada kelebihan dia dan saya ada kelebihan saya. Jadi, apabila kami bergabung semestinya masing-masing ada cara sendiri dan akhirnya dapat membentuk satu pasukan kerja yang baik,” katanya.

Selain ChaCha dan Fify, drama Special Force Anarchy turut membariskan pelakon seperti Datuk M Nasir, Puteri Aisyah, Hasnul Rahmat, Steve Yap, Anas Redzuan dan Yusof Bahrain.

Hormat M Nasir

Lebih mengenali M Nasir sebagai penghibur legenda, tak dinafikan terbit juga perasaan bimbang untuk Fify dan ChaCha bekerja dengannya.

Ditambah lagi, raut wajah penyanyi dan komposer ternama itu yang sering terlihat serius.

Bagaimanapun, Fify mengakui sangkaan itu meleset kerana M Nasir ternyata seorang yang mudah mesra dan kelakar.

Katanya, ia menjadikan dia amat menghormati penyanyi itu yang begitu komited ketika bekerja.

“Mula-mula nak ‘shooting’ dengan beliau, memang saya dan ChaCha ada rasa berdebar-debar dan risau juga sebab dia serius, amat berpengalaman dan pada masa sama, kami menghormatinya sebagai legenda. Tapi, apabila dah ‘shoot’ sama, dia ternyata seorang yang kelakar.

“Saya amat teruja dapat peluang bekerja kali pertama dengan Skop Productions. Begitu juga Syafiq, seorang pengarah yang bagus kerana dia mempunyai banyak idea serta amat membantu pelakon di lokasi,” katanya.

Mengulas mengenai babak aksi dilakonkan, Fify berkata, dia puas kerana banyak bermain dengan peralatan.

Katanya, walaupun sudah sinonim dengan aksi, namun dalam drama Special Force Anarchy, ia banyak membawa pengalaman baharu kepadanya.

“Saya memang suka aksi. Jadi, pembabitan dalam drama Special Force Anarchy ini banyak memberi saya bermain dengan peralatan dan pada masa sama, kena bijak mengawal tenaga. Apapun, saya dan ChaCha sudah membuat yang terbaik untuk drama ini,” katanya.

Fify atau nama sebenarnya Nur Afiqah Mohamed Azmi yang membintangi filem Wira sebelum ini sudah meraih trofi Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) pada Disember tahun lalu.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker