Kalvin Phillips kini milik Manchester City
MANCHESTER: Pemain tengah England, Kalvin Phillips menyempurnakan perpindahan impian ke kelab juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City pada harga 45 juta pound (RM240.52 juta) dari Leeds United.
Phillips yang menandatangani kontrak enam tahun dengan skuad kendalian Pep Guardiola itu berkata: “Saya amat gembira dapat menyertai Manchester City.”
Guardiola memilih Phillips untuk memperkuat barisan tengahnya selepas pemain Brazil Fernandinho meninggalkan kelab pada akhir musim lalu.
City memulakan rundingan untuk mendapatkan Phillips sejak Jun dan kini ia dapat disempurnakan.
Phillips yang bermula sebagai pemain remaja di Leeds, menyertai City selepas melakukan 235 penampilan untuk kelab dari kampung halamannya sepanjang lapan musim lalu.
“City sekali lagi membuktikan mereka adalah pasukan terbaik di negara ini dengan skuad serta pengendali yang hebat – Pep Guardiola yang dianggap terbaik di dunia.
“Dapat bermain di bawah Pep dan belajar daripadanya adalah sesuatu yang amat saya nanti-nantikan.
“City adalah kelab kelas dunia dengan kakitangan serta kemudahan yang terbaik. Impian saya menjadi kenyataan dengan menyertai kelab ini,” katanya.
AGENSI