Kilang sorok minyak masak bersubsidi diserbu

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 2,112 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi 1kg dalam serbuan di sebuah premis di Senadin, Miri, semalam.

Seorang lelaki pekerja kilang kitar semula minyak masak turut ditahan dalam serbuan anggota penguat kuasa KPDNHEP Miri itu. Suspek ditahan dan minyak masak dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Jurucakap KPDNHEP Sarawak berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan selama dua minggu selepas mengesyaki kilang itu menyorok minyak masak bersubsidi.

Pemeriksaan lanjut mendapati, minyak masak dalam paket 1kg itu dikumpul sebelum diisi ke dalam dua tangki berkapasiti 1,000 liter. Berdasarkan jumlah minyak masak dalam paket yang ditemui, nilai rampasan itu adalah berjumlah RM5,272.50.

“Pekerja kilang terbabit dikenal pasti menggunting paket plastik dan kemudian memasukkan minyak masak itu ke dalam tangki seterusnya menjualnya pula kepada pihak industri.

“Kilang terbabit dipercayai membeli minyak masak bersubsidi secara pukal sebelum menyorok bahan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

BHOnline

Leave a Reply