Pesawat tempur LCA Tejas jadi pilihan utama Malaysia
NEW DELHI: Pesawat tempur ringan India, Tejas, dilaporkan menjadi pilihan utama Malaysia bagi menggantikan jet pejuangnya yang sudah lama.
The Indian Express melaporkan, kedua-dua negara sedang mengadakan rundingan berhubung perolehan berkenaan.
Menurut laporan itu, Pengerusi dan Pengarah Urusan Hindustan Aeronautics Limited (HAL), R Madhavan dalam satu wawancara dengan PTI, berkata Malaysia mengecilkan skop pilihan kepada pesawat India walaupun terdapat persaingan sengit daripada jet JF-17 (China), FA-50 (Korea Selatan) dan Mig-35 serta Yak-130 (Russia).
Sebagai sebahagian daripada pakej itu, India turut menawarkan untuk menyediakan kemudahan menyelenggara, membaiki dan membaik pulih (MRO) di Malaysia bagi pesawat pejuang Su-30 buatan Russia, selepas ia berdepan kesukaran untuk mendapatkan alat gantinya dari negara berkenaan susulan sekatan dikenakan Barat terhadap Moscow.
“Saya sangat yakin mengenainya, melainkan ada berlaku peralihan politik,” kata Madhavan ketika ditanya sama ada perjanjian itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Eksekutif tertinggi syarikat dikendalikan kerajaan itu berkata, jika perjanjian berkenaan dimeterai, ia akan memberi ‘isyarat amat baik’ kepada bakal pembeli pesawat yang lain serta meningkatkan potensi eksportnya secara keseluruhan.
“Ia (rundingan) hampir peringkat akhir. Kita adalah satu-satunya negara yang menawarkan sokongan untuk pesawat Su-30 mereka berikutan selain Russia, kita adalah satu-satunya negara yang boleh memberi sokongan diperlukan mereka untuk pesawat Sukhoi,” kata Madhavan.
Satu rombongan membabitkan pakar dan pegawai atasan dijangka melawat India tidak lama lagi berhubung proses perolehan terbabit.
Malaysia sedang membuat perolehan bagi menggantikan pesawat pejuang MiG-29 buatan Russia yang sudah lama. Bagaimanapun, jumlah pesawat terbabit dalam perolehan itu tidak dapat dipastikan, setakat ini.
AGENSI