Dagangan ringgit bermula rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, memandangkan dolar terus mengukuhkan daya tarikannya sebagai mata wang selamat berikutan sentimen enggan mengambil risiko menyelubungi pasaran, kata penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.4220/4255 berbanding dengan dolar AS daripada 4.4185/4200 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata sentimen enggan mengambil risiko tersebar luas dengan hasil Perbendaharaan AS berjangka 10 tahun telah mencecah paras di bawah tiga peratus berikutan permintaan terhadap instrumen selamat kian kukuh.

“Minat terhadap instrumen yang boleh ditukar secara langsung kepada atau serupa dengan tunai semakin meningkat walaupun memberikan pulangan yang rendah, dan itu bermakna tumpuan utama kini adalah untuk melindungi prinsipal pelaburan.



“Indeks dolar AS (DXY) telah melepasi 106 mata pada masa ini kerana permintaan terhadap dolar AS telah meningkat. Justeru, dolar-ringgit dijangka kekal pada paras semasa sekitar RM4.41,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, tumpuan akan diberikan kepada keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) Kadar Dasar Semalaman (OPR) hari ini.

Kenaikan 25 mata asas akan memberikan sedikit sokongan kepada ringgit, katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding dengan beberapa mata wang utama.



Mata wang tempatan meningkat berbanding dengan pound British kepada 5.2909/2951 daripada 5.3168/3186 ketika ditutup pada Selasa, serta naik berrbanding dengan euro kepada 4.5392/5428 daripada 4.5511/5526.

Ringgit susut berbanding dengan dolar Singapura kepada 3.1487/1514 daripada 3.1486/1502 semalam dan rendah berbanding dengan yen Jepun kepada 3.2606/2636 daripada 3.2530/2543.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker