Ibu, bayi selamat disemadikan

BALING: Suasana pilu dengan ratusan wajah sayu pada hening awal pagi mengiringi pengebumian janin berusia empat bulan bersama tiga sekeluarga mangsa lemas akibat bencana banjir dan kepala air di Lata Celak, Kampung Iboi, Kupang, di sini, menjelang subuh tadi.

Mangsa tragedi petang kelmarin itu, termasuk seorang ibu hamil yang terkorban, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Charuk Bemban Dalam, di sini, kira-kira jam 5.30 pagi.

Kira-kira 200 orang yang hadir kelihatan hiba dan sebak, malah ramai tidak dapat menahan air mata, ketika diberi peluang terakhir untuk menatap wajah jenazah sebelum pengebumian.

Jenazah Nurul Anis Abu Hassan, 23, bersama janinnya dikebumikan dalam satu liang lahad, diikuti jenazah ibu mentuanya yang lumpuh, Salmah Mat Akib, 53; dan adik ipar, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14.

Terdahulu, kesemua jenazah tiba di pekarangan Surau Al-Istiqamah, Kampung Charuk Bemban Dalam, pada jam 4.25 pagi. Jenazah janin didukung bapanya, Muhammad Khairul Asyraf Nor Azman, 24, sebelum dibawa masuk ke dalam surau untuk disolatkan.

Solat jenazah dilakukan secara berasingan, bermula untuk janin Nurul Anis, diikuti Allahyarham Khairul Ikhwan. Solat jenazah kemudian diadakan serentak untuk Nurul Anis dan Salmah.

Insiden kelmarin mengakibatkan kediaman mangsa dihanyutkan air deras, sebelum mayat Nurul Anis dan ibu mentuanya ditemukan dalam keadaan saling berpelukan di bawah timbunan pokok kira-kira 100 meter dari tapak rumah mereka kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Mayat Khairul Ikhwan pula ditemukan pada pukul 11.55 pagi sama di bawah timbunan pokok tidak jauh dari lokasi mayat ibu dan kakak iparnya dijumpai.

BHOnline

Leave a Reply