KDN aktif Op Bantu Baling

Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengaktifkan Op Bantu Baling serta merta, semalam, bagi mengkoordinasi segala bentuk bantuan dan operasi menyelamat mangsa tragedi banjir di Baling, Kedah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Op Bantu Baling itu diketuai oleh Ketua Polis Negeri Kedah dan turut membabitkan jabatan dan agensi lain di bawah KDN.

Katanya, ia membabitkan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Penjara Malaysia (PRIDE).

“Seramai 164 pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diatur gerak, manakala sebanyak 44 aset kenderaan serta peralatan kecemasan PDRM digerakkan ke lokasi bencana.

“Ia termasuk empat bot, lapan lori, tiga kenderaan pacuan empat roda, dua van dan 10 kereta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hamzah berkata, seramai 46 anggota RELA juga dikerahkan untuk membantu mangsa banjir di kawasan yang terbabit dan ditugaskan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Laporan terperinci mengenai perkembangan kerja menyelamat dan membantu mangsa banjir akan dipantau secara harian oleh KDN.

“Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-22663333, 03-22663444, 03-22663451 atau talian MERS 999.

“KDN merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi banjir di Baling dan berharap supaya semua pihak tabah menghadapi dugaan yang menimpa,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker