Kerja baik pulih Battersea Power Station selesai

LONDON: Battersea Power Station mengumumkan penyiapan Gred II stesen tenaga, selepas lapan tahun kerja pemulihan bangunan bersejarah di London itu dilaksanakan.

Ia menandakan satu pencapaian besar memandangkan mercu tanda terkemuka itu bersedia untuk dibuka kepada orang awam pada musim luruh ini.

Pada asalnya direka bentuk oleh arkitek Sir Giles Gilbert Scott, Battersea Power Station dibina dalam dua peringkat dengan bahagian luarnya berbentuk hampir simetri, namun di bahagian dalam direka bentuk dengan dua gaya berbeza.

Battersea A, yang disiapkan pada 1935 mempunyai gaya Art Deco pada zaman itu, manakala Battersea B yang disiapkan pada 1955, mencerminkan penjimatan pasca perang dengan reka bentuk perindustrian.



Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development

Company (BPSDC), Simon Murphy, berkata pemegang saham, Sime Darby Property, S P Setia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bersama dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berbangga mengumumkan penyiapan praktikal bangunan utama Battersea Power Station, mewujudkan destinasi baharu untuk mendiami, bekerja, makan serta beriadah.

“Ini hasil kerja baik pulih selama hampir lapan tahun, mentransformasi sebuah bangunan terbiar menjadi destinasi berkelas dunia yang boleh dinikmati selama beberapa generasi lamanya.

“Kami sedang berunding dengan jenama runcit dan riadah dalam pada mereka menyesuaikan ruang masing-masing menjelang pembukaan bangunan hebat ini kepada orang awam buat kali pertama musim luruh ini.



“Kami berterima kasih kepada seluruh pasukan pakar berkemahiran tinggi yang bersungguh-sungguh dan komited untuk membantu menjadikan visi pemegang saham menjadi realiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut akan dibuka tahun ini adalah laluan pejalan kaki terbaharu di London, Electric Boulevard.

Dua pengamal arkitek terkemuka dunia, Gehry Partners dan Foster + Partners, mereka bentuk jalan baharu itu, yang akan menampilkan kedai, restoran, hab komuniti, taman dan art’otel 164 bilik, jenama hotel pertama di United Kingdom (UK) yang berdepan dengan stesen tenaga itu sendiri.

Electric Boulevard juga akan menghubungkan pembangunan itu dengan stesen baharu Zone 1 Northern Line London Underground, yang dibuka pada 2021, membolehkan Battersea Power Station hanya 15 minit dari bandar raya dan West End, selain meningkatkan ekonomi tempatan serta mewujudkan kira-kira 17,000 pekerjaan.

Circus West Village, bahagian pertama dalam pembinaan semula Battersea Power telah mempunyai jenama kegemaran ramai seperti Roti King oleh Sugen Gopal, Fiume oleh Francesco Mazzei dan Cinnamon Kitchen oleh Chef Vivek Singh.

Kejiranan di tepi sungai itu didiami oleh 1,800 penduduk dan mempunyai 20 kafe, bar, restoran, kedai serta kemudahan beriadah.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker