Lesen 15 syarikat pembungkusan minyak masak bersubsidi ditarik balik

Shah Alam: Sebanyak 15 syarikat pembungkusan minyak masak bersubsidi diambil tindakan termasuk ditarik semula lesen masing-masing oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata tindakan itu diambil selepas siasatan mendapati 15 syarikat terbabit dikesan terbabit dalam penyelewengan bekalan minyak masak paket satu kilogram ke negara jiran.

“Semua syarikat ini akan dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali.

“Bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta, ” katanya pada sidang media selepas mengadakan pemeriksaan terhadap dua premis pembungkusan minyak masak di Seksyen U5, di sini.

Pada masa sama, Rosol berkata, kuota penghasilan minyak masak paket yang diberikan kepada 15 syarikat itu kini dipindahkan ke syarikat lain.

“Dengan penarikan lesen ini bukan bermakna penghasilan minyak masak paket ini berkurangan.

“Penghasilan tetap dikeluarkan sebanyak 60,000 kilogram sebulan melalui pemindahan kuota kepada syarikat lain,” katanya.

Rosol berkata, pihaknya turut menyiasat dua lagi syarikat pembungkusan iaitu di Selangor dan Perak kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan minyak masak paket ke negara jiran.

“Setakat ini belum ada tangkapan, namun kita sudah mulakan siasatan yang kebiasaannya mengambil masa kira-kira tiga bulan.

“Tidak sepatutnya berlaku subsidi yang diberikan kerajaan untuk manfaat rakyat, namun dinikmati oleh warga asing.

“Atas sebab itu kita melakukan pemeriksaan secara agresif pada sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh empat hari bulan ini, sebanyak 22 aduan berkaitan minyak masak dan 25 aduan berkaitan ayam diterima KPDNHEP.

“Bagi memastikan setiap aduan yang diterima daripada pengguna dapat diuruskan dengan lebih berkesan, KPDNHEP

mengaktifkan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) yang akan beroperasi setiap hari termasuk cuti hujung minggu bermula jam 8 pagi hingga 8 malam,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker