Mangsa kepala air di tiga PPS menurun 495 orang

BALING: Jumlah mangsa banjir akibat kepala air membabitkan 12 kampung yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini menurun kepada 495 orang daripada 109 keluarga.

Jumlah itu dilaporkan setakat jam 9.30 pagi hari ini berbanding jumlah mangsa semalam iaitu 1,455 mangsa daripada 109 keluarga.

Antara kampung terbabit adalah Kampung Iboi, Kampung Lata Celak, Kampung Padang Empang, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi, Kampung Bendang Padang, Kampung Bendang Bechah, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Bukit Tinggi, Klinik Kampung Pisang dan Kampung Sadik.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff, berkata jumlah mangsa yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai adalah seramai 159 mangsa daripada 50 keluarga.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan 39 lelaki dewasa, 43 wanita dewasa, 25 kanak-kanak lelaki, 22 kanak-kanak perempuan, 16 wanita warga emas dan 14 lelaki warga emas.

Sementara itu, seramai 258 mangsa daripada 59 keluarga ditempatkan di Surau An Nur membabitkan 66 lelaki dewasa, 68 wanita dewasa, 58 kanak-kanak lelaki termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU), 48 kanak-kanak perempuan, sembilan wanita warga emas termasuk seorang OKU dan sembilan lelaki warga emas.

Katanya, kebanyakan penduduk sudah pulang ke rumah masing-masing berikutan air surut.

“Sementara itu jumlah mangsa banjir di PPS SMK Agama Al Khiriah adalah seramai 78 mangsa yang terdiri daripada 32 pelajar perempuan serta 46 pelajar lelaki.

“Kebanyakan pelajar terbabit sudah diambil keluarga masing-masing,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, hujan lebat yang melanda hampir tiga jam sejak jam 2 petang menyebabkan beberapa tempat di daerah ini dinaiki air disebabkan sistem perparitan yang tidak teratur serta paras air sungai meningkat ke tahap bahaya.

Kejadian kepala air turut mengorbankan tiga sekeluarga dan menyebabkan sebahagian besar rumah penduduk di 12 kampung terjejas.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker