RM1.5 juta nilai rampasan minyak masak bersubsidi

Klang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan sejumlah RM1.5 juta nilai rampasan kes penyeludupan minyak masak peket bersubsidi di sempadan negara membabitkan empat negeri.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, nilai rampasan itu membabitkan kes di Sabah, Sarawak, Kedah dan Kelantan.

“Setakat ini rampasan bernilai RM1.5 juta bagi tempoh Januari sehingga 5 Julai lalu dengan 61 kes membabitkan individu dan peniaga di empat negeri ini.

“Sebab itu penguatkuasaan kita diperhebatkan dan memang ada berlaku kes di sempadan iaitu Sabah dan Sarawak sebab dua negeri ini ada sempadan yang panjang dengan jiran kita.

“Juga di sempadan Kelantan dan Kedah, jadi empat negeri ini ada berlaku penyeludupan (minyak masak peket bersubsidi),” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Carsome Certified Lab, Bandar Bukit Raja di sini hari ini.

Alexander berkata, penguatkuasaan membabitkan minyak masak peket bersubsidi itu sentiasa bergerak dan berterusan sehingga membolehkan pihaknya berjaya mengesan kesalahan itu dan membuat tangkapan seterusnya dikompaun.

Menurutnya, KPDNHEP sedang merangka beberapa strategi membabitkan penguatkuasaan dan pemantauan malah kini mesyuarat jawatankuasa itu sedang berjalan.

“Kita ada Ops Samar, yang mana penguat kuasa tidak memakai uniform, sebaliknya memakai pakaian biasa untuk masuk ke mana-mana tempat bagi memastikan kejadian itu berlaku atau tidak.

“Kita juga tubuhkan jawatankuasa seperti diumumkan oleh saya dan Perdana Menteri, di mana agensi penguat kuasa lain akan membantu KPDNHEP seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi lain.

“Kalau di sempadan perairan, kami tidak ada aset seperti bot, jadi kami juga memerlukan bantuan tentera laut, polis marin, kastam dan lain-lain. Ini untuk kami bentuk pasukan lebih mantap dan kukuh,” katanya.

Dalam pada itu katanya, KPDNHEP terbuka jika pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjalankan siasatan sekiranya berlaku ketirisan dalam isu berkenaan.

“Itu bergantung kepada SPRM. Kalau mereka terima aduan dan hendak siasat, itu terpulang. KPDNHEP tidak ada masalah dengan itu,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan melakukan pengauditan dan pemutihan komprehensif membabitkan 22 pengeluar serta 305 premis pembungkusan semula minyak masak peket di seluruh negara.

Beliau turut mengarahkan penguat kuasa seperti KPDNHEP, PDRM dan ATM menggempur sama ada di peringkat kilang pembungkusan hingga ke sempadan negara bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku.

METRO

Leave a Reply