Arsenal mahu melepaskan tujuh pemain

London: Arsenal mahu melepaskan tujuh pemain mereka bagi menambah dana pembelian pada jendela perpindahan musim panas ini.

Gunners memberikan £83 juta (RM437.9 juta) kepada pengendali, Mikel Arteta untuk menandatangani rekrut baharu seperti Gabriel Jesus, Fabio Vieira, Marquinhos dan Matt Turner.

Namun Arteta dan pihak pengurusan mahu menambah beberapa lagi pemain dengan bintang Leicester, Youri Tielemans muncul sasaran utama.

Mereka berharap dapat menambahkan bajet menerusi penjualan beberapa pemain tetapi agak sukar mendapatkan pembeli.

Pemain yang ditandatangani dengan harga rekod Nicolas Pepe, Bernd Leno, Hector Bellerin, Lucas Torreira, Pablo Mari, Ainsley Maitland-Niles dan Reiss Nelson mahu dilepaskan tetapi setakat ini gagal menarik minat kelab yang benar-benar serius mahu mendapatkan mereka.

Arsenal meningkatkan usaha mendapatkan Tielemans dan sedia membuat tawaran lebih baik kepada pemain tengah Leicester itu.

Mereka yakin dapat memiliki pemain Belgium berusia 25 tahun itu dengan harga £30 juta (RM158 juta) walaupun diberi saingan oleh Manchester United dan Newcastle.

Arteta menghalakan radar ke Tielemans selepas terpaksa melupakan hasrat mendapatkan perancang Wolves, Ruben Neves yang diletakkan harga terlalu mahal iaitu £75 juta (RM395 juta).

Arsenal turut berminat membuat bidaan mendapatkan pemain Lazio, Sergej Malinkovic-Savic tetapi bintang Serbia itu dua tahun lebih tua daripada Tielemans, tidak pernah beraksi di Liga Perdana dan berharga sekitar £50 juta (RM263 juta).

Arteta akur dengan kegagalan mendapatkan pemain sayap Leeds, Raphinha walaupun membuat bidaan £55 juta (RM290 juta) tetapi masih menaruh harapan dapat menandatangani pemain tengah Ajax, Lisandro Martinez walaupun pemain Argentina itu tampak bakal menuju Manchester United dengan harga £40 juta.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker