Dua beranak hidup terbiar bertemankan ayam, itik diselamatkan

Ipoh: Hidup terbiar dengan tidur bertemankan ayam dan itik yang ‘menumpang’ dalam rumah serba daif. Itu yang dilalui dua beranak yang menetap di Batu 8, Chemor, Ulu Kinta, di sini sebelum diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semalam.

Lebih memilukan, dua beranak itu bukan sahaja bergelumang dengan najis haiwan itu, malah najis sendiri kerana tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Ini kerana, wanita warga emas dikenali sebagai Nooriah, 82, terlantar akibat sakit tua, manakala anaknya dikenali sebagai Noor Fadillah, 51, adalah orang kurang upaya (OKU) berkaitan mental.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, dua beranak itu sudah diselamatkan dan kini sedang dirawat di hospital.



Katanya, usaha menyelamat dua beranak itu turut mendapat kerjasama Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Katanya, susulan itu JKM Perak kini sedang giat mengesan waris dua beranak beranak berkenaan untuk tindakan susulan termasuk bagi menempatkan mereka di rumah jagaan.

“JKM akan membantu mereka dengan menempatkan si ibu di rumah Desa Kasih iaitu di bawah kaedah sakit melarat sementara anaknya di Desa Bina Diri di bawah kaedah orang papa.

“Mereka tidak selamat untuk tinggal di rumah sekarang kerana kedua-duanya tidak mampu menguruskan diri sendiri,” katanya.



Beliau berkata demikian dalam sidang media sewaktu menghadiri Majlis Penyerahan kepada 20 peserta Program Pemerkasaan Ekonomi (PRE Perak Sejahtera tahun 2022) bagi Biznita, Bizman, dan M2 Yong di sini, hari ini.

Menurutnya, warga emas itu adalah pesara kerajaan dan memperoleh wang pencen RM600 sebulan sementara anaknya penerima bantuan OKU JKM RM300 sebulan.

Dalam perkembangan lain, Wan Norashikin berkata seramai 700 usahawan kecil di negeri ini menerima manfaat menerusi tiga program diperkenalkan menerusi kerajaan negeri khusus kepada usahawan kecil untuk tahun ini sebagai inisiatif membantu mereka menangani isu beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker