Kerah kudrat cuci lumpur tebal sejak kelmarin

BALING: Penduduk di sekitar Kampung Iboi, Kupang, di sini, masih bertungkus lumus mencuci kediaman mereka sejak petang kelmarin untuk membersihkan sisa lumpur yang tebal kesan bencana banjir dan kepala air, Isnin lalu.

Hasil tinjauan di lokasi mendapati rata-rata mereka mengeluh kerana pelbagai barangan elektrik dan perabot di rumah masing-masing mengalami kerosakan atau musnah akibat kejadian itu.

Solihin Azman, 47, berkata beliau membantu mencuci rumah kakak iparnya, Fuziah Yusof, 64, yang ditenggelami banjir mencecah paras pinggang dalam insiden berkenaan.

Katanya, beliau terpaksa menggunakan ‘water jet’ untuk mencuci bahagian di dalam dan luar rumah yang masih dipenuhi lumpur.

“Agak sukar untuk membersihkan keseluruhan kawasan rumah kerana lumpur agak tebal dan banyak. Saya melakukan kerja mencuci ini sejak kelmarin, itupun masih banyak lagi yang belum selesai,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Penduduk lain, Mohd Azwan Awang Kechik, 42, berkata bencana kali ini menyebabkan tiga rumah ahli keluarganya ditenggelami banjir lumpur.

“Namun syukur, ramai yang datang membantu membersihkan rumah penduduk, termasuk polis, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pelajar universiti serta orang perseorangan.

“Dari segi bantuan makanan dan keperluan kelengkapan diri, kami tidak kisah kerana semuanya mencukupi. Cuma, kami berharap rumah dapat dicuci bersih sepenuhnya sebelum sambutan Aidiladha pada Ahad ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata anggota dan pegawai polis dari setiap daerah serta jabatan bawah Kontinjen Kedah diketuai Ketua Polis negeri, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, bersama pelbagai agensi lain menyertai Op Bantu untuk melaksanakan kerja pembersihan rumah penduduk sejak semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut membuka kaunter di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai untuk memudahkan penduduk membuat laporan polis berkaitan kehilangan dan kerosakan harta benda akibat insiden itu.

BHOnline

Leave a Reply