Lori rempuh trafik sibuk di Tambak Johor

JOHOR BAHRU: Kementerian Pengangkutan akan melakukan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas berhubung insiden sebuah lori perdagangan terbabit perlanggaran dengan beberapa kenderaan di Tambak Johor, pagi tadi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ia termasuk menggantung permit syarikat serta Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) pemandu lori berkenaan jika didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian itu, sekali gus amat memandang serius kes sedemikian dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak kerana ia membabitkan keselamatan orang ramai.

“Agensi bawah kementerian, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), akan segera menjalankan siasatan Tata Amalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden itu.

“Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan melakukan ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori berkenaan.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat terbabit sekiranya didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan, selepas JPJ melengkapkan audit ICOP.

“Ia termasuk menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beberapa rakaman video tular dalam media sosial yang menunjukkan kira-kira 10 kenderaan dirempuh ketika trafik sibuk di Tambak Johor.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan melakukan siasatan dari aspek teknikal, bagi mencari punca kemalangan itu.

“Orang ramai yang berada di tempat kejadian ketika kemalangan itu berlaku pula diminta menyerahkan bukti-bukti seperti rakaman video sekiranya ada, bagi membantu siasatan.

“Saya amat memandang serius kes seperti ini dan tidak akan berkompromi. Mana-mana pihak yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman tegas kerana ia membabitkan soal keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

 

BHOnline

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker